Sejak dua hari ini jagung tiba-tiba begitu popular di media sosial.
Netizen didapati menghantar gambar jagung, pantun, kata-kata mengenai jagung atau lukisan berkaitan dengannya sebagai sindiran tajam terhadap Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz .
Ini susulan pertikaian antara beliau dengan Menteri Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Hamzah.
Dalam serangannya terhadap cadangan Abdul Karim bahawa Cukai Pelancongan perlu ditangguhkan, Nazri tiba-tiba melenting ketika diminta media mengulas kenyataan Abdul Karim.
Nazri berkata, menteri Sarawak itu tidak sepatutnya bercakap banyak kerana beliau baru setahun jagung menjadi menteri berbanding dirinya, malah menggunakan perkataan samseng untuk merujuk kepada Abdul Karim.
Hakikatnya, Abdul Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri Asajaya yang baru dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh Mei lalu, telah empat penggal menjadi wakil rakyat.
Kesudahannya, penghinaan dan templakan Nazri mencetuskan kontroversi dengan dikritik pemimpin politik dan netizen kerana disifatkan kasar, biadab dan tidak profesional.
Malah, Nazir kedengaran menggunakan perkataan ‘budak’ untuk merujuk kepada Abdul Karim kerana usia beliau sebagai menteri penuh masih lagi belum sampai seratus hari.
Cukai Pelancongan sepatutnya dikuatkuasakan 1 Julai yang mengenakan caj antara RM2.50 hingga RM20 semalam kepada mereka yang tinggal di hotel.
Jagung, tumbuhan yang buahnya bertongkol dan berbijiran yang dapat dimakan, digunakan sebagai simpulan bahasa dalam bahasa Melayu.
Ini menurut Kamus Dewan, termasuk ‘baik berjagung-jagung sementara padi belum masak’ yang bermaksud sementara menunggu sesuatu yang lebih baik, yang kurang baik pun boleh dipakai juga.
“Adakah ini bermaksud, sementara menunggu menteri yang lebih baik, yang kurang baik pun boleh dipakai juga?,” komen seorang ahli bahasa.
Menteri yang baik, mengikut penganalisis politik yang enggan namanya disebut, perlu berwatak dan berperibadi baik, termasuk bertutur kata baik dan berhemah ketika berbicara supaya dapat menjadi suri teladan kepada rakyat yang dipimpinnya. – Sarawakvoice
No comments:
Write comments