Monday 26 June 2017

Peti sejuk punca Menara Grenfell, London terbakar


LONDON: Mail Online mendedahkan, siasatan awal polis mendapati, peti sejuk jenama Hotpoint model FF175BP dikatakan sebagai punca Menara Grenfell 24 tingkat di utara Kesington terbakar.

Kebakaran tersebut mengorbankan hampir 80 jiwa dengan ratusan mangsa cedera.

Peti sejuk model Hotpoint tersebut belum ditarik balik daripada pasaran oleh pengeluarnya.

The Telegraph pada Jumaat lepas melaporkan, bagaimanapun seperti diarahkan oleh pihak kerajaan jenis peti sejuk terbabit masih dalam kajian lanjut pakar keselamatan.

Penyiasat meminta sesiapa yang mempunyai model peti sejuk yang sama diminta menghubungi pihak pengeluar.

Syarikat Hotpoint mengeluarkan sekitar 64,000 unit peti sejuk antara 2006 hingga 2009.

Sementara, Hotpoint menyampaikan “ucapan takziah mendalam” kepada mangsa dan petugas yang membantu pihak berkuasa selepas kebakaran itu.

Alex Neill, dari kumpulan pengguna Which? berkata: “Jika ternyata kerosakan peti sejuk menyebabkan api bermula di Menara Grenfell, ini menimbulkan persoalan serius tentang keselamatan produk ini.”

“Penarikan produk penuh mesti dilaksanakan dengan pantas oleh pengilang supaya produk berisiko dikeluarkan dari rumah pengguna,” ujar Alex.

Jurucakap Hotpoint mengesahkan mereka diberitahu kebakaran berpunca daripada peti sejuk beku model tersebut.

Beliau berkata: “Kami bekerjasama dengan pihak berkuasa mendapatkan akses kepada peralatan tersebut supaya kami dapat membantu siasatan berterusan.”

Sementara, detektif Jabatan Polis Metropolitan, Superintendan Fiona McCormack menyatakan jubin dan penebat bagi binaan blok luar menara tersebut didakwa gagal dalam semua ujian keselamatan oleh Penyelidikan Pembinaan Bangunan.

McCormack berkata, polis kini mempertimbangkan meletak kesalahan jenayah membunuh sebagai sebahagian daripada pertuduhan terhadap syarikat terlibat pada bangunan berkenaan.

Ini termasuk mereka yang terlibat dalam ubah suai Menara Grenfell.

Suruhanjaya Kebajikan mengumumkan membayar pampasan £20,000 (RM109,000) bagi setiap ahli keluarga yang maut dalam kebakaran tersebut.

Sementara, £10,000 (RM54,500) bagi zetiap individu diagihkan kepada setiap individu yang cedera teruk dan memerlukan rawatan hospital.

Setiap keluarga Menara Grenfell diberi £10,000 sebagai geran permulaan kehidupan baru untuk mereka berpindah ke tempat lain. – Sarawakvoice

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments