ISLAMABAD – Seorang pengatur cara komputer dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah menghina kesucian agama Islam di laman Facebook.
Hakim Shabbir Ahmad Awan menjatuhkan hukuman mati kali pertama membabitkan kesalahan media sosial itu di Bahawalpur, kira-kira 600 kilometer di selatan ibu negara Pakistan.
Pegawai pendakwa Shafiq Qureshi berkata, Taimoor Raza, 30, didapati bersalah kerana menghina Nabi Muhammad di laman sosial itu.
Bagaimanapun peguamnya Rana Fida Hussain berkata, Taimoor sebelum itu bertengkar dengan seorang pegawai dari jabatan anti keganasan mengenai satu topik mengenai Islam, yang mendorong beliau mendakwanya berdasarkan komen yang dibuat di laman sosial terbabit.
Rana juga berkata anak guamnya itu tidak bersalah dan akan mengemukakan rayuan atas pensabitan terbabit.
Di Pakistan, menghina Tuhan dan Islam adalah dakwaan yang teramat sensitif yang mana ia boleh mencetuskan rusuhan dan keganasan di kalangan penduduk negara itu. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments