WASHINGTON DC – Pernahkah anda mendengar mesin cecair sabun yang bersifat perkauman? Mungkin lucu tetapi itulah yang sudah berlaku di Amerika Syarikat (AS) sendiri baru-baru ini!
Ia susulan dakwaan tular seorang pengguna Twitter dengan akaun nama Chukwuemeka Afigbo selepas dia merakam mesin itu mengeluarkan sabun hanya kepada lelaki berkulit putih tetapi tidak pula kepada yang berkulit gelap.
Rakaman durasi selama 45 saat itu, yang kini mendapat lebih ratusan ribu tanda ‘likes’ dan ‘retweet’ itu menjadi sensasi sehingga mencetuskan perbahasan panas antara kalangan netizen di negara tersebut sendiri.
Video tersebut, yang dimuat naik sendiri oleh Afigbo, menunjukkan keadaan bagaimana seorang lelaki berkulit putih boleh sahaja mendapat sabun selepas meletakkan tangannya di bawah mesin tersebut.
Kemudian, seorang lelaki yang berkulit hitam cuba melakukan perkara yang sama tetapi tidak pula mendapat sabun. Lelaki itu kemudian balut tangannya dengan tisu putih dan meletakkan tangannya di bawah mesin tersebut.
Dan hasilnya kini, mesin itu mengeluarkan sabun pula! Laman NDTV memetik Afigbo sebagai menyatakan “Ini sesuai jika anda berdepan dengan masalah mengenai pentingnya kepelbagaian dalam teknologi canggih.
“Malahan inilah kesannya terhadap masyarakat akhirnya, sila tontonilah video ini.”Ini bukan kes pertama, Pada 2015 sebenarnya, ada juga sebuah video yang serupa sehingga mencetuskan perbalahan netizen.
Ia memaparkan sebuah mesin dispenser di Hotel Marriott di bandar raya Atlanta yang langsung tidak mengeluarkan sabun kepada mana-mana lelaki berkulit gelap tetapi tidak pula kepada berkulit cerah.
“Saya cuba semua mesin cecair pencuci tangan di tandas tersebut. Ada dalam 10 dan satu pun langsung tidak berfungsi,” kata orang yang merakamkan video itu sendiri, TJ Fitzpatrick kepada portal Mic.
“Setiap kali saya mahu masuk ke tandas berkenaan, saya terpaksa perlu meminta tolong daripada rakan saya hanya untuk mendapatkan sabun bagi membersihkan tangan sendiri.”
Naib Presiden Produk Particle, Richard Whitney memberitahu Mic pada 2015 bahawa dispenser sebegitu menggunakan teknologi inframerah untuk mengeluarkan sabun dan tiada unsur rasis timbul.
“Apabila cahaya daripada mentol LED inframerah memantul daripada tangan, ia akan mengeluarkan sabun. Jika objek itu menyerap cahaya itu, sensor itu tidak dapat mengesan cahaya yang cukup,” katanya kepada Mic.
Video baharu kali ini pula menerima pelbagai reaksi di Twitter. Walaupun ada pengguna bersetuju dengan Afigbo, ramai juga menyatakan kelemahan teknologi yang sepatutnya dipersalahkan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments