Saturday, 15 July 2017

Daki Gunung Pakai Kasut Tumit Tinggi, Kau Ada?


MENDAKI pada ketinggian 1,345 meter di atas paras laut iaitu Gunung Ben Nevis bukanlah gunung yang paling sukar didaki di dunia.

Bagaimanapun, pencapaian seorang remaja boleh dibanggakan kerana mendaki sambil memakai kasut tumit tinggi setinggi lima inci, lebih-lebih lagi dia seorang lelaki.

Ben Conway dapat membuktikan bahawa perkara itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

Pelajar jurusan seni berusia 19 tahun dari London itu baru-baru ini menyahut cabaran mendaki gunung tertinggi di United Kingdom dengan memakai kasut tumit tinggi.

Cabaran tersebut merupakan cara yang menyerlah untuk dia memohon biasiswa di Sekolah Seni Komunikasi di Brixton, England.

Setiap pemohon diminta melakukan sesuatu yang bersemangat yang disukai mereka.


Memandangkan Conway begitu terpengaruh dengan budaya ‘drag‘, dia memutuskan untuk menggabungkan dua perkara yang disukai itu menjadi satu idea yang menarik.

“Saya perlu memikirkan sesuatu yang sukar untuk dilakukan dan saya juga menyukai budaya ‘drag’. Jadi, saya gabungkan kedua-duanya untuk menyahut cabaran ini,” kata Conway kepada The Scotsman.

“Saya memilih Gunung Ben Nevis kerana ia yang paling besar. Saya fikir jika saya mahu meneruskannya, saya perlu melakukannya dengan lancar. Semuanya dilakukan secara spontan,” katanya.

Conway mendaki menggunakan kasut tumit tinggi pada 27 Jun lalu dan pendakian mengambil masa lima jadi.

Bagaimanapun, ia bukanlah pengalaman mendaki yang lancar buat remaja ini.

Semasa separuh pendakiannya di Gunung Ben Nevis, salah satu daripada tali kasutnya putus, menyebabkan Conwat terpaksa melekat pita pada kasut bagi memastikan dia boleh terus mendaki.

Cuaca pada ketika itu juga kurang baik dengan hujan sepanjang masa, selain terpaksa mengharungi angin sekuat sehingga 80 kilometer sejam.

“Saya tidak pernah mendaki gunung sebelum ini dan ia juga merupakan pertama kali saya memakai kasut tumit tinggi,” kata Conway. – odditycentral.com/mStar Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments