Wednesday, 9 August 2017

Harga Minyak Naik Lagi Untuk Minggu Ketiga


PUTRAJAYA – Harga runcit siling bahan bakar ditetapkan secara mingguan mulai 30 Mac lalu, dan bagi tempoh seminggu berikutnya menyaksikan semua jenis minyak naik untuk minggu ketiga.

Ia memang dijangka ekoran tindakan beberapa negara pengeluar minyak mentah utama dunia cuba mengurangkan bekalan di pasaran global sekali gus memperlihatkan trend permintaan bahan bakar melebihi penawaran stok.

Menurut laporan Berita N5 yang disiarkan oleh stesen TV1 RTM pada jam 5 petang Rabu, harga siling terbaharu produk minyak RON 95 naik kepada RM2.12 seliter, bertambah lima sen berbanding RM2.07 seliter sebelumnya.

Manakala had harga runcit untuk petrol premium jenis RON 97 dalam tempoh seminggu akan datang pula telah ditetapkan kepada RM2.39 seliter, naik tujuh sen daripada hanya RM2.32 seliter pada seminggu sebelumnya.


Dalam pada itu, harga runcit baharu untuk minyak diesel dalam tempoh tujuh hari yang sama turut diumumkan menokok hanya satu sen kepada RM2.06 seliter, berbanding RM2.05 seliter ketika tempoh minggu sebelumnya.

Stesen penyiaran awam kebangsaan berkenaan melaporkan bahawa kesemua harga siling baharu untuk produk petroleum tersebut bermula dari pukul 12.01 tengah malam 10 Ogos sehingga 11.59 malam pada 16 Ogos depan.

Mulai 29 Mac lalu, Kabinet memutuskan penetapan harga runcit bahan api secara mingguan bagi membolehkan pengguna dapat menikmati trend kadar lebih stabil berbanding harga bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.

Pihak kerajaan sebelum itu melaksanakan penetapan harga siling bulanan secara kaedah pengapungan terkawal dengan mengguna pakai sistem kiraan formula Mekanisme Harga Automatik yang ditetapkan sejak 1983 lagi.

Penetapan harga runcit minyak secara bulanan itu sudah lama dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah pun bermula pada awal Disember 2014 lalu.

Namun, pengumuman rasmi secara mingguan dijangka dapat mengurangkan kegelisahan pengguna kerana corak perubahan harga tidak begitu ketara berikutan tempoh pengiraan yang agak pendek. – Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments