PETALING JAYA: Cadangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) supaya pesawah menggunakan dron untuk meracun sawah bagi mengawal makhluk perosak merupakan kaedah tidak rasional, kata Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Presiden CAP S.M Mohamed Idris berkata saranan itu akan menimbulkan masalah pencemaran udara yang serius dan ia boleh mengancam kesihatan serta menjejaskan alam sekitar.
“Kesan penggunaan dron ini akan lebih ketara terhadap kanak-kanak dan ibu mengandung yang terdedah kepada pencemaran udara beracun itu.
“Meskipun kandungan sisa racun adalah rendah, ia masih membahayakan kesihatan dan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Pengurus Besar MADA Datuk Fouzi Ali dalam laporan Utusan Malaysia berkata penggunaan dron dalam bidang pertanian lebih efektif serta menjimatkan masa.
Fouzi berkata bagi permulaan sebanyak 8 dron akan digunakan pada musim pertama tahun ini yang dijangka bermula pada April.
Idris turut memberi contoh melalui kejadian yang berlaku di Kerala, India apabila penduduk di 20 kampung mengalami masalah kesihatan akibat penggunaan dron dalam bidang pertanian.
Malah, penggunaan dron dalam bidang pertanian di Kerala mendapat bantahan keras oleh pertubuhan hak asasi manusia, Parti Kongres Nasional (NCP) dan menteri pertanian India.
Idris berkata lokasi yang dicadangkan MADA juga tidak sesuai kerana terdapat banyak kampung berhampiran sawah dan penduduk akan mudah terhidu bahan kimia.
“Tanaman lain yang diusahakan, saliran dan binatang ternakan serta hidupan akuatik juga akan turut terjejas kerana pencemaran udara itu,” katanya.
Beliau berkata MADA seharusnya bergerak ke arah pertanian asli tanpa menggunakan bahan kimia untuk menjamin keselamatan makanan, memperbanyakkan kepelbagaian pertanian dan melindungi alam sekitar.
“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu membatalkan cadangan penggunaan dron untuk meracun sawah.
“Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar juga perlu memberi perhatian serius agar teknologi yang merbahaya kepada alam sekitar dan kesihatan awam seperti ini tidak digunakan di negara,” katanya. - Free Malaysia Today
No comments:
Write comments