SEORANG remaja yang ingin menguji sama ada bapanya menyayanginya atau tidak, telah melakonkan sendiri adegan dimana dia diculik dalam plot penculikan palsu yang dirancangnya sendiri.
Zhu, yang berusia 18 tahun, telah merakamkan aksi dia diikat dan dipukul oleh dua lelaki, sebelum menghantar kilp video terbabit kepada bapanya.
Bukan itu sahaja, Zhu juga menuntut bapanya membayar wang tebusan dalam usaha menghalang `penculik’ daripada menjual organnya.
Kejadian itu berlaku di Taizhou, China.
Sudah tentulah bapanya yang menerima klip terbabit berasa cemas dan bimbangkan keselamatan anaknya, lalu telah menghubungi polis.
Selepas siasatan, polis mendapati Zhu telah mendaftar masuk ke dalam sebuah hotel selama enam hari ketika tempoh dia `diculik’ dan tidak mendaftar keluar.
Polis juga mendapati bilik hotel itu berselerak dan ketika pihak berkuasa sedang merancangkan tindakan lanjut, Zhu telah muncul di dalam bilik berkenaan secara tiba-tiba dan dalam keadaan sihat.
Berdasarkan keadaan itu, polis tahu bahawa Zhu merancang penculikannya sendiri dan dia akhirnya mengaku berbuat demikian kerana bapanya tidak mempedulikannya.
Namun kesan akibat drama tersebut, ibunya terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara manakala neneknya pula terpaksa dimasukkan ke hospital kerana sangat terkejut.
Zhu akhirnya menyedari kesilapannya dan memohon maaf kepada keluarganya. Dia dan dua lagi rakannya telah ditahan kerana mengugut dan meminta wang tebusan. –MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments