Wednesday, 19 July 2017

Video : Peninju MMA ‘Tewas’ Di Tangan Pak Guard


SUBANG JAYA – Seorang ahli sukan seni bela diri berbadan sasa dengan senang-senang ditumbangkan tiga pengawal keselamatan dalam kejadian di kondominium USJ One, di sini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.13 petang kelmarin itu, ia berpunca apabila lelaki terbabit yang dikenali sebagai Darriush Kha Lili pada mulanya ingin masuk dan berjumpa dengan rakannya yang menetap di kondominium terbabit.

Bagaimanapun, permintaannya itu tidak dibenarkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas, atas sebab-sebab yang tidak dinyatakan seperti mana yang dikongsikan laman Facebook Discover Subang Jaya.

Kecewa dengan keputusan pengawal berkenaan, lelaki itu kemudian cuba mendesak sehingga berlaku pergelutan di antara mereka.


Pergelutan itu turut menarik tumpuan penghuni pangsapuri lain yang bertindak merakam insiden terbabit.

Menerusi rakaman, lelaki itu secara tiba-tiba dilihat menendang kaki kiri pengawal berkenaan lalu berlaku pergelutan di antara mereka berdua sebelum didatangi dua lagi rakan pengawal yang berusaha menghalang lelaki terbabit.

Lelaki itu kemudian berjaya dihalang, lalu diikat dengan tali dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


Difahamkan, Darriush yang juga merupakan seorang peninju MMA mendakwa sengaja tidak melawan bagi mengelak sebarang kecederaan kepada pengawal tersebut dan tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.


“Ia cerita yang panjang. Saya yang terlibat dalam kejadian itu. Saya tidak berniat mahu mencederakan sesiapa, saya boleh saja berlawan dengan mudah. 

“Saya menendangnya beberapa kali agar dia menjauhkan diri dari saya tetapi sekumpulan lelaki bodoh ini melompat ke arah saya.

“Saya tidak melawan balik. Saya bukannya bodoh, tapi saya tidak mahu ada masalah dengan pihak polis.

“Bagi saya, dia hanya lelaki yang kelakar dan saya mengaku ianya salah saya yang menamparnya. Tetapi saya telah meminta maaf, begitu juga dengan mereka. Ia hanya salah faham sahaja, ” katanya di ruangan komen pautan video.

Sementara itu di dalam laporan Harian Metro, pengawal keselamatan yang dibelasah lelaki itu telah menarik balik laporan polis yang dibuat pada hari yang sama.

Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, pengawal keselamatan warga Nepal berusia 53 tahun itu telah menarik balik laporan polis yang dibuat ekoran mengenali lelaki itu.

Tiga pengawal keselamatan dan lelaki berusia 20 tahun itu juga sudah bermaaf-maafan serta menyelesaikan kes itu secara baik.

Bagaimanapun, netizen di media sosial sehingga kini menyelar tindakan pemuda itu yang tergamak mencederakan pengawal keselamatan yang hanya menjalankan tugas.

“Mereka hanya menjalankan tugas dan tidak kira mereka warga asing ataupun bukan, merekalah yang menjaga kawasan kejiranan kita dari individu-individu yang tidak dikenali dan berniat jahat,” kata netizen. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments