Sunday, 23 July 2017

Petik Gitar Sambil Otak Dibedah, Dan Sembuh…


NEW DELHI – Seorang lelaki memetik gitar semasa otak dibedah membuktikan prosedur lain daripada lain itu berjaya bantu rawat masalah yang menghalangnya daripada bermain alat tersebut.

Menurut akhbar Times of India, pesakit bernama Abhishek Prasad itu disahkan mengalami gangguan otak yang menghalangnya petik gitar dengan betul. Ia juga menyebabkan jari-jemari tidak dapat bergerak di sebelah tangan.

Lelaki warga India yang berusia 37 tahun itu kemudian berusaha untuk mendapatkan rawatan dari pelbagai pakar sebelum doktor di Hospital Bhagwan Mahaveer Jain di Bangalore dekat sini menyarankan satu prosedur aneh.

Ia untuk memulihkan kondisi yang dikenali sebagai ‘dystonia pemuzik’. Pakar bedah hanya perlu gerudi tempurung kepala pesakit tersebut serta turut menggunakan anastetik untuk proses bius dan melampirkan elektrod.

Ini membolehkan mereka dapat menyaksikan secara khusus tempat yang memerlukan ‘pembakaran’ dalam otak berkenaan bagi merawat kawasan tepat berlaku gangguan saraf yang jarang-jarang berlaku itu.

“Sepanjang pembedahan, Abhishek dalam keadaan sedar sepenuhnya dan turut bermain gitar memandangkan masalahnya berlaku hanya apabila dia cuba ermain,” kata Dr. Sharan Srinivasan dalam kenyataannya.

Times of India melaporkan bahawa cara tersebut adalah sangat penting untuk doktor mengenal pasti lokasi khusus sasaran untuk dirawat. Prasad turut menceritakan pengalaman luar biasanya berada di meja pembedahan.

Dalam keadaan sedar bagi prosedur sukar selama tujuh jam itu, jari-jemarinya turut kepenatan. Proses pembedahan unik sedemkian turut menarik perhatian pengamal perubatan di seluruh dunia kerana ia nyata amat praktikal.

“Saya kagum melihat jari-jemari saya tiba-tiba semakin pulih di meja pembedahan itu juga. Selepas selesai pembedahan, jari-jemari saya sembuh 100 peratus dan saya boleh menggerakkannya seperti biasa,” dedahnya.

Jahitan di kepala Prasad dibuka di hospital semalam, dan dia juga mengucapkan terima kasih kepada doktor sambil memainkan beberapa lagu bagi menunjukkan sejauh mana dirinua sudah sembuh. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments