Wednesday, 19 July 2017

Sanggup Naik Helikopter Untuk Nikmati Harumanis


KANGAR – Mereka yang sudah merasai keenakan Harumanis sanggup datang dari jauh – sejauh selatan Semenanjung ke sini semata-mata untuk menikmati buah yang menjadi ikon Perlis itu.

Pengusaha Harumanis dari Kampung Padang Asam, Che Jan Che Seman berkata, ada antara pelanggannya dari Putrajaya dan Perak, malahan sejauh Johor, sanggup menaiki helikopter persendirian dan mendarat di kawasan kebunnya semata-mata untuk membeli Harumanis.

“Kebanyakan pelanggan saya boleh dikatakan pembeli tetap yang setia. Mereka percaya kerana sudah merasai keenakan rasa mangga hasil ladang saya ini dan berpuas hati dengan kualitinya.

“Ramai juga pelanggan yang membuat tempahan awal dengan membayar deposit separuh dari (jangkaan) harga setiap kali hampir tiba musim menuai Harumanis,” katanya yang mengusahakan lebih 200 pokok mempelam bermutu tinggi itu.

Mengenai kejatuhan harga buah itu baru-baru ini akibat masak dalam bulan puasa, Che Jan, 62, berkata, cabaran ini tidak pernah mematahkan semangatnya.

“Kebetulan waktu hasil mangga itu sampai pada kemuncaknya, masa itu adalah bulan puasa maka permintaan agak perlahan tetapi tidak putus dan harganya tidak lah jatuh mendadak. Kalau RM25 turun kepada RM20 (sekilogram),” katanya.

Che Jan berkata kemerosotan permintaan itu mungkin dilihat dari dalam Perlis, kerana masyarakat di sini sudah biasa dan tidak begitu teruja kerana Harumanis mudah didapatkan di tempat sendiri.

Ada yang menanam pokok mangga itu di rumah masing-masing, katanya.

“Saya sendiri tidak terkesan dengan kejatuhan harga yang digembar gemburkan sebelum ini kerana permintaan masih berterusan,” katanya ketika ditemui Bernama .

Menurutnya, satu lagi cabaran berat yang dihadapi penanam ialah tentang ketidaktentuan kualiti hasil, kesan dari faktor cuaca.

Bagi Ismail Hassan, 65, semangat megusahakan 150 batang pokok Harumanis tidak pernah pudar, walaupun mengakui ada sedikit kesulitan untuk memasarkan buah pada bulan Ramadan lalu selain dipengaruhi beberapa faktor lain yang menjejas kualiti buah.

“Cuaca yang lebih banyak taburan hujan menjadi cabaran bagi kami kerana jika tidak dijaga rapi serta tersalah perkiraan waktu menuai, buah yang dipetik tidak manis dan isinya rosak walaupun kulitnya elok.

“Ini menyebabkan pembeli marah kerana rasa tertipu,” katanya.

Mengenai buah yang terlalu masak, Ismail berkata beliau usahakan produk jus dan jem daripadanya. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments