Tuesday, 14 March 2017

Ibu Tunggal baru bertunang ditemui maut


IPOH: Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan tertiarap, dipercayai dibunuh, dalam bilik tidur rumahnya di Taman Dato Lew Yap Sip, Ampang, di sini awal pagi tadi. 

Hamidah Abdul Rahman, 53, ditemui mati oleh anak bongsunya ketika mahu mengejutkan mangsa bangun tidur kira-kira jam 5.30 pagi tadi. 

Difahamkan, mangsa baru sahaja bertunang dengan seorang anggota polis pada Khamis lalu dan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada Mei ini.


 Anaknya, Noor Shairah Hussin, 17, berkata, dia terkejut sebaik menemui mayat ibunya itu dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka di bahagian belakang badan dan terdapat kesan terbakar pada bahagian kerusi meja solek dan langsir. 

Katanya, ibunya dipercayai keluar berjumpa rakan pada jam 8 malam tadi dan pulang ke rumah pada jam 12.30 tengah malam.


"Saya mahu kejutkannya bangun pagi dalam jam 5.30 pagi namun terkejut melihat keadaannya tertiarap dengan kesan luka di belakang, badan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi. 

 Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bedah siasat sedang dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mengenal pasti punca kematian. - BHonline

Polis tahan lelaki dipercayai suspek bunuh ibu tunggal

Polis menahan lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang wanita di Taman Dato Lew Yap Sip, Ampang, di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mayat Hamidah Abdul Rahman, 53, ditemui anak bongsunya dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka di belakang badan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek yang berniaga di Pasar Besar Kampung Rapat, di sini, ditahan jam 12 tengah hari tadi dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Katanya, hasil bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan berlebihan akibat luka tikaman.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dipercayai ditikam di beberapa bahagian badan namun senjata digunakan suspek tidak ditemui di tempat kejadian.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan pecah masuk di pintu masuk rumah dan pintu bilik tidur mangsa. Mangsa dijumpai di bilik utama tingkat atas dalam keadaan terlentang di atas katil.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis percaya sudah berjaya menyelesaikan kes berkenaan dengan tertangkapnya suspek,” katanya.

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments