PARIS – Selepas tinggal dalam arca beruang selama dua minggu dan dalam batu selama seminggu, ahli seni Perancis, Abraham Poincheval kini cuba menetas telur ayam pada Rabu.
Dalam aksi terbaharunya itu, Poincheval, 44, akan meniru ayam dengan mengeramkan 10 telur dengan haba badan sehingga ia menetas dalam sebuah vivarium gelas di Muzium Palais de Tokyo di sini.
Beliau menjangka usahanya itu akan mengambil masa antara 21 hingga 26 hari.
Dalam eksperimennya ini, Poincheval duduk di kerusi dengan telur dalam bekas di bawah kerusi itu.
Mengikut kiraannya, haba dari tubuhnya akan mengekalkan suhu yang diperlukan untuk menetas telur tersebut.
Untuk mengekalkan suhu badan pada tahap tinggi, Poincheval menyelubungi dirinya dengan selimut penebat tebal.
Artis itu hanya boleh berdiri dan meninggalkan tempat itu tidak lebih dari 30 minit sehari untuk menerima makanan yang dibawa kepadanya.
Bagaimanapun, Poincheval tidak akan meninggalkan tempat itu untuk ke tandas dan satu kotak disediakan untuk buang air.
Usaha ini kali pertama Poincheval meneroka dunia kehidupan.
Bulan lalu, Poincheval tinggal di dalam lubang pada batu kapur yang diukir seperti bentuk badan di museum sama di Paris.
Pada April 2014, dia tinggal dalam arca beruang teracu di Muzium Memburu dan Alam Semula Jadi di Paris dan makan cacing serta kumbang untuk mencerminkan pemakanan beruang. – Reuters/myMetro Online
No comments:
Write comments