KUCHING: Polis Padawan menahan seorang lelaki berusia 25 tahun hari ini, selepas disyaki membunuh kekasihnya gara-gara cemburu.
Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisoner Datuk Dev Kumar berkata, lelaki terbabit ditahan selepas mengaku menikam kekasihnya, yang bekerja sebagai pembantu kedai di Pusat Komersial Liang Kee, Batu 4 dekat sini.
Jelasnya, polis dimaklumkan tentang kes ini apabila menerima maklumat awam yang melaporkan seorang lelaki yang cedera parah datang ke sebuah kedai serbaneka 24 jam di Batu 4 untuk memohon pertolongan.
“Dia dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak, oleh pasukan paramedik yang tiba sejurus kemudian.
Pasukan penyiasat kemudian menemu bual lelaki yang bertugas sebagai jurujual perkakasan kereta itu akan punca dia mengalami luka pada badan, leher dan pergelangan tangan.
“Lelaki kemudian mendedahkan dia telah berselisih faham dengan teman wanitanya yang juga berusia 25 tahun, di bilik sewa wanita tersebut, sebelum menikamnya.
Berikutan pengakuan tersebut katanya, polis menjalankan pemeriksaan lanjut di bilik sewa tersebut dan menemui wanita terbabit terbujur kaku dengan darah terpercik pada tilam dan lantai bilik.
“Ketika ditemui, mangsa telah tidak bernyawa dengan terdapat kesan luka pada lehernya.
“Sebilah pisau berlumuran darah juga ditemui berhampiran mangsa.
Siasatan lanjut kata Dev berjaya mendapatkan pengakuan suspek bahawa dia telah bermalam di bilik tersebut dengan kekasihnya.
“Suspek kemudian menuduh wanita itu bertindak curang dengan menemui lelaki lain di belakangnya.
“Pertengkaran bertukar marak dan suspek kemudian mengambil pisau lalu menikam leher mangsa.
Kata Dev, melihat teman wanitanya itu tidak lagi bernyawa, suspek cuba membunuh diri dengan menikam perut dan lehernya, serta menghiris pergelangan tangan.
“Namun suspek kemudian bertukar fikiran dan berkejar ke kedai serbaneka berdekatan untuk mendapatkan bantuan.
Suspek yang sedang menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak kini diletakkan dalam tahanan dan kes disiasat sebagai bunuh di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan.
Ini merupakan kejadian pembunuhan keenam di Sarawak pada tahun ini dan semuanya berjaya diselesaikan oleh pihak polis. – Sarawakvoice
No comments:
Write comments