Tuesday, 14 March 2017

Keluarga dipaksa mengaku buat bom untuk kurangkan hukuman


Pattani: Satu keluarga peniaga di sini yang anak mereka cedera dalam satu letupan di kediaman mereka meminta pihak berkuasa berhenti mengesyaki mereka membuat bom. 

Masalah mula menimpa keluarga itu petang Rabu lalu apabila satu letupan berlaku di rumah Asmin Sapae-ing di Kampung Ban Bana di daerah Bana.

Empat anggota keluarga dan seorang saudara mereka cedera, termasuk tiga kanak-kanak berusia antara satu dan lapan tahun. Dua kanak-kanak berkenaan sehingga semalam masih dirawat di wad unit rawatan rapi.

Ibu kanak-kanak itu, Subaidah Hajibueraheng berkata semalam, kejadian berlaku ketika suaminya, Asmin membaiki telefon bimbit. 

“Dia mengecas telefon itu berhampiran longgokan serpihan mercun yang disepahkan anak kami. Beberapa minit kemudian letupan berlaku,” kata Subaidah. 

Menurutnya, dia kecewa apabila beberapa pegawai kerajaan menuduh dia dan suaminya cuba membuat bom. 

“Tuduhan itu mengarut. Kami tidak pernah dan tidak akan sekali-kali melakukan jenayah,” katanya. 

Anak saudaranya, Hamdi Uma, 23, yang cedera di dada berkata, dua anggota polis melawatnya di hospital dan cuba memaksanya mengaku membuat bom supaya hukuman ke atasnya boleh dikurangkan. – Bangkok Post / HMetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments