Friday, 31 March 2017

3 Suspek Korea Utara Pulang Dengan Mayat Kim Jong-nam


SEPANG – Suspek warga Korea Utara yang dikehendaki untuk disoal siasat berhubung pembunuhan Kim Jong-nam dipercayai telah mengikuti penerbangan balik ke negara mereka lewat Khamis.

Mereka turut mengiringi keranda mangsa yang merupakan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dalam penerbangan ke Beijing, China selepas Malaysia bersetuju perjanjian pertukaran dengan rejim komunis itu.

Agensi berita antarabangsa Reuters yang menerima foto eksklusif daripada jurugambar Kyodo Jepun memaparkan suspek berada dalam pesawat Malaysia Airlines menerusi penerbangan MH360 berlepas jam 6 petang Khamis.

Antaranya Hyon Kwang-song, Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Korea Utara di Kuala Lumpur dan Kim Uk-il, staf syarikat penerbangan kebangsaan Air Koryo yang terdahulu dilaporkan bersembunyi di canseri negara itu.

Gambar yang dirakamkan di dalam pesawata tersebut adalah berpadanan dengan rekod foto imej yang dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia menerusi satu sidang media khas diadakan di Bukit Aman pada bulan lalu.

Mereka kemudian disambut oleh pegawai Kedutaan Korea Utara di bilik kenamaan lapangan terbang antarabangsa di Beijing selepas pesawat mendarat di ibu kota China itu sebelum menaiki penerbangan lain ke Pyongyang.


Media tempatan semalam melaporkan keranda yang membawa mayat Jong-nam juga dipercayai dimuatkan dalam penerbangan yang sama, namun setakat ini perkara tersebut tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Dalam pada itu seorang lagi suspek rakyat Korea Utara, Ri Ji-u, yang telah menetap di Malaysia lebih tiga tahun lalu dan juga dikenali dengan nama panggilan James, turut dibenarkan pulang ke negara asalnya dalam pesawat sama.

Dia terdahulu dilaporkan media terpaksa menyorok bersama-sama dua suspek tersebut di dalam premis diplomatik Pyongyang di ibu negara selepas diburu pihak polis dan semua warga Korea Utara dihalang keluar dari Malaysia.

Jasad Jong-nam dihantar pulang ke Korea Utara atas pemintaan keluarganya selepas identiti mangsa, yang dibunuh pada 13 Februari lalu; berjaya dikenal pasti menerusi semakan sampel DNA daripada anaknya sendiri baru-baru ini.

Sebagai balasan pertukaran, kesemua sembilan warga Malaysia termasuk petugas kedutaan yang terkandas di Pyongyang dibenarkan kembali ke tanah air dan selamat tiba awal pagi Jumaat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments