Wednesday, 1 February 2017

Media sosial, rekod telefon pelawat ke AS akan diperiksa

WASHINGTON: Akaun media sosial dan rekod telefon pelawat dari 7 negara Islam yang akan diasingkan untuk “ditapis secara ekstrem” bakal turut diperiksa secara terperinci sebelum dibenarkan masuk ke Amerika Syarikat (AS), kata setiausaha keselamatan Kementerian Dalam Negeri AS, semalam.

John Kelly memberikan penjelasan lanjut terhadap sekatan perjalanan yang dikeluarkan Presiden Donald Trump, 4 hari lalu, tanpa sebarang amaran hingga mencetuskan protes besar-besaran, cabaran undang-undang dan kekeliruan.

“Ada banyak negara, dan pada masa ini kita mengendalikan 7 negara yang pada pandangan kami tidak ada penguatkuasaan undang-undang, simpanan rekod atau seumpamanya dapat meyakinkan kami yang warganegara mereka sebenarnya sama seperti yang dinyatakan,” katanya pada satu sidang media.

Katanya, atas alasan itu pihak berkuasa AS akan menyiasat penggunaan media sosial pemohon visa dan siapa yang dihubungi di telefon, “supaya kami boleh lihat dengan siapa mereka berbual”.

Pada Jumaat lalu, Trump mengarahkan pembekuan kemasukan pelawat dari Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman, serta pelarian bagi memberi tempoh kepada kerajaan baharu membangunkan prosedur pemeriksaan ekstrem bagi mengenal pasti pengganas.

Tindakan itu mendapat kritikan meluas, tetapi Kelly menafikan ia secara khusus menyasarkan umat Islam, di mana tindakan itu akan melanggar perlembagaan AS.

“Majoriti 1.7 bilion umat Islam di dunia ini, dengan semuanya sama rata, mereka ada akses ke AS,” katanya.

“Dan hanya sejumlah kecil saja pada masa ini disekat untuk satu tempoh masa sehingga kami dapat mengkaji prosedur yang akan digunakan,” katanya.

Perintah Trump ialah pembekuan kemasukan pelawat dari 7 negara itu sekurang-kurangnya 90 hari, tetapi Kelly berkata sekatan itu mungkin lebih lama jika prosedur pemeriksaan masih belum siap untuk semakan selepas tempoh berkenaan.

Perintah yang dikeluarkan secara tiba-tiba itu menyebabkan kesukaran di pintu masuk imigresen dan syarikat penerbangan asing, sehingga ramai pemegang penduduk sah AS disekat daripada menaiki pesawat ke AS atau ditahan sebaik saja tiba di lapangan terbang.

Pemangku pesuruhjaya Kastam dan Perlindungan Sempadan AS berkata pelawat yang mempunyai dua kerakyatan dibenarkan memasuki AS selagi pasport mereka boleh diterima.

“Pelawat akan diperiksa di semua sempadan berdasarkan kepada pasport mereka, bukan mana-mana status 2 kerakyatan,” katanya.

Setakat ini, 721 orang tidak dibenarkan menaiki pesawat ke AS sementara lebih 1,000 diberikan kelonggaran daripada perintah Trump untuk membolehkan mereka masuk ke negara itu. - Free Malaysia Today

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments