ALOR SETAR – Pegawai yang menjadi dalang utama kehilangan 26 senapang patah milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) daerah Selama, Perak disyaki sudah lama menjalankan kegiatan itu sebelum terbongkar bulan lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata suspek berusia 55 tahun yang kini bertugas di Pengkalan Hulu di Perak, dikatakan menjual senapang patah berkenaan pada harga antara RM1,000 hingga RM3,000 setiap satu.
Pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini Selasa, beliau mendedahkan ia dijual dalam kalangan kenalan rapat. Senjata api terbabit adalah antara 300 laras dibekalkan kepada Rela Daerah Selama, Perak.
Katanya, 26 senapang patah yang disedari hilang pada 23 Februari lalu susulan audit dilakukan Bahagian Pelesenan Bukit Aman di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara di Bukit Selambau di Sungai Petani dekat sini.
“Hasil pemeriksaan polis menahan suspek utama yang juga bekas Pegawai Rela Selama pada 18 Mac lalu dan hasil soal siasat dijalankan pegawai itu mengaku menjual 26 laras senjata kepada ahli Rela dan orang awam di Perak.
“Kita mengesyaki dia sudah lama buat kerja ketika bertugas di Selama, isu timbul apabila ada serahan tugas kepada pegawai baharu, namun suspek ini gagal menyerahkan senarai senjata tersebut,” kata beliau lagi.
Ujar Asri, pihak polis juga menahan 11 ahli Rela serta masing-masing seorang tentera dan orang awam yang kesemuanya berusia antara 29 hingga 56 tahun di sekitar Taiping, Gerik, Selama dan Kerian di Perak.
Sehubungan itu, kata beliau, sebanyak 13 laras senapang patah jenis Remington & Ricchardson, selaras senapang buatan sendiri dan lebih 300 butir peluru tabur jenis 12 bore turut dirampas oleh polis.
“Semua suspek kini masih ditahan reman bagi bantu siasatan dan kita sedang siasat tujuan pemilikan senapang itu kerana tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan, mencuri dan judi.
“Justeru, kita minta mereka yang membeli senapang patah berkenaan agar tampil menyerahkan senjata api itu di balai polis berdekatan berikutan memiliki senjata api tanpa lesen adalah kesalahan besar,” kata Asri.
Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 7 (2) dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments