Wednesday, 29 March 2017

Peragut Kantoi Tapi Mengaku Tak Bersalah


“APA bukti, apa bukti,” itu yang dikatakan salah seorang peragut yang ditahan orang ramai selepas cubaannya meragut beg tangan seorang wanita gagal di Perak baru-baru ini.

Video kejadian tersebut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dengan memaparkan ‘gelagat’ dua penjenayah menaiki motosikal cuba meragut seorang wanita yang menaiki kereta jenis Proton Wira yang diparkir di sebuah lorong.

Dalam video berkenaan jelas kelihatan salah seorang suspek membuka pintu kereta mangsa dan merampas beg tangan wanita berkenaan sebelum melarikan diri.

Namun, usaha mereka gagal apabila orang ramai menyedari aktiviti jenayah mereka dan seorang lelaki bertindak menendang motosikal yang dinaiki suspek sehingga terjatuh.

Kedua-dua suspek cuba melarikan diri tetapi orang ramai yang berada di tempat kejadian semakin ramai menghampiri suspek dan memukul mereka.

Bagaimanapun, seorang suspek melarikan diri ketika dipukul orang ramai sementara rakannya berjaya ditangkap.

Suspek yang ditahan bagaimanapun menafikan dia dan rakannya telah meragut beg tangan mangsa.

“Apa lu orang tiba-tiba hantam (pukul), saya sudah langgar dia punya kereta, tengok dia punya belakang.

“Saya panggil lu (mangsa) tak mahu berhenti, panggil polis,” katanya.

Suspek terus menafikan tuduhan meragut dan mahukan bukti daripada orang ramai yang menuduhnya.

Perkongsian video tersebut menjadi tular di media sosial dan netizen menganggap suspek tidak menyedari kegiatan mereka sudah dirakam CCTV.

Ada netizen menganggap suspek sudah biasa melakukan aktiviti jenayah seperti ragut dan sengaja mencipta alasan untuk melepaskan diri.

Menerusi video berkenaan memang jelas memaparkan dua lelaki bermotosikal meragut beg tangan wanita berkenaan dan tiada kaitan dengan kemalangan seperti yang didakwa suspek. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments