NIBONG TEBAL – Seorang penumpang wanita berusia 29 tahun maut selepas sebuah bas ekspres terbabas dan terbalik dalam nahas di Kilometer 152, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Kemalangan ngeri itu berlaku berhampiran dengan persimpangan susur keluar Bukit Tambun, dekat sini kira-kira pukul 4.19 pagi Isnin, menurut kicauan Jabatan Bomba dan Penyelamat menerusi akaun Twitter rasmi.
Dalam kejadian tersebut, seramai empat penumpang turut dilaporkan cedera parah manakala 11 yang lain hanya mengalami kecederaan ringan dan 13 lagi disahkan sebagai selamat.
Difahamkan, bas ekspres yang membawa sejumlah 29 penumpang termasuk dua pemandu itu dilaporkan tiba-tiba terbabas sebelum merempuh besi pembahagi jalan dan kemudian terbalik.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.20 pagi sebelum tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
“Operasi menyelamat berakhir kira-kira pukul 7 pagi tadi dan mangsa yang meninggal serta cedera dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini.
Mangsa yang maut belum dikenal pasti manakala punca kemalangan masih lagi disiasat. Pihak bomba setakat ini tidak menyatakan bas itu dari mana dan menuju ke destinasi mana. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments