Monday, 13 February 2017

Tiada rekod pelajar ‘tak makan’ walaupun PTPTN lewat


KUALA LUMPUR: Majlis Profesor Negara (MPN) berkata tiada rekod pelajar “tak makan” akibat kelewatan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan biaya kepada peminjam.

Ketua Pegawai Eksekutif MPN Datuk Raduan Che Rose percaya ia kerana semua universiti mempunyai tabung kebajikan untuk membantu pelajar menghadapi masalah asas seperti tidak mempunyai wang untuk makan atau membayar yuran universiti.

“Semua universiti mempunyai tabung kebajikan. Sebagai contoh kalau pelajar guna wang untuk beli telefon bimbit, kita tidak bantu, tetapi kalau untuk yuran universiti, kita akan bertolak ansur dan kita sangat faham.

“Kalau pelajar kata mereka makan ‘maggi’ (mi segera), masa saya pelajar dulu saya makan ‘maggi’. Tidak ada masalah sebab kita ‘enjoy’ makan ‘maggi’ tapi kalau sampai tahap tak makan itu isu besar.

“Setakat ini tiada rekod lagi pelajar tidak makan. Jadi tiada masalah PTPTN lewat 2-3 bulan sebab universiti ada tabung bantuan pelajar,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian mengulas kebimbangan terhadap kebajikan pelajar selepas media melaporkan pelajar di 11 institut pengajian tinggi awam (IPTA) belum mendapat biaya mereka daripada PTPTN.

Media melaporkan, ini kerana PTPTN belum menerima status pengajian pelajar terbabit, namun Naib Presiden PKR Rafizi Ramli khuatir kelewatan berpunca daripada ketidakmampuan kerajaan memberi peruntukan secukupnya bagi sektor pendidikan.

Sementara itu, Raduan meminta parti politik supaya tidak mengambil kesempatan ke atas masalah pelajar akibat kelewatan biaya ini.

“Jangan jadikan penderitaan orang sebagai modal politik…ini benda yang nyata kita perlu tangani dengan cara profesional,” katanya. - FMT

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments