PETALING JAYA : Pengasas Dego Ride Nabil Feisal Bamadhaj berkata pelanggan masih membuat tempahan perkhidmatan teksi motosikal itu walaupun Kementerian Pengangkutan mengeluarkan arahan pemberhentian serta-merta.
Nabil berkata berikutan tempahan masih diterima, maka masih ada penunggang Dego Ride yang terus mengambil penumpang.
Sehubungan itu, katanya Dego Ride akan berjumpa dengan Kementerian Pengangkutan hari ini atau esok bagi mendapatkan penjelasan dan memberikan cadangan mengenai perkhidmatan itu.
“Kami mahu beritahu Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat yang kami ingin bekerjasama dengan mereka.
“Kami juga akan menunjukkan data sejak memulakan perkhidmatan hingga sekarang, kami tidak ada masalah kemalangan langsung. Alhamdulillah dan ada statistik lain yang ingin kami kongsi dengan mereka,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Semalam, Kementerian Pengangkutan mengarahkan perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan.
Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya juga tidak akan memberikan lesen operasi kepada pengendali perkhidmatan tersebut buat masa ini dan akan mengambil tindakan undang-undang jika masih lagi beroperasi.
Nabil berkata semua tempahan yang dibuat melalui laman web mereka menunjukkan tidak ada perkhidmatan awam bagi laluan di mana tempat penunggang mengambil penumpang dan tempat yang mahu dituju.
“Dan sekiranya mereka ambil pengangkutan awam, ia akan mengambil masa lebih 30 minit,” katanya.
Beliau berkata orang ramai juga tidak mempunyai pilihan lain untuk lari daripada kesesakan lalu lintas di Lembah Klang. - FMT
No comments:
Write comments