Monday, 20 February 2017

Pergaduhan antara pegawai DBKL dan kumpulan basikal di KL


PETALING JAYA: Program mingguan Ahad tanpa kereta di Kuala Lumpur semalam tercalar akibat pergaduhan antara pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sekumpulan penunggang basikal yang sedang tunjuk perasaan.

The Star melaporkan penunjuk perasaan terbabit mendakwa mereka diganggu DBKL, dengan salah seorang mendakwa pegawai penguat kuasa menamparnya.

Bagaimanapun, pegawai DBKL berkata mereka yang sebenarnya diserang oleh penunjuk perasaan terbabit.

Kedua-dua pihak bertelagah ketika tunjuk perasaan menentang tindakan DBKL menyita basikal di ibu kota, menurut akhbar itu.

Menulis di Facebook, salah seorang penunjuk perasaan, Mar Ibrahim berkata pegawai DBKL yang berpakaian biasa mengarahkan sekumpulan kira-kira 40 penunggang basikal untuk menurunkan kain rentang.

Berlaku pergelutan apabila penunjuk perasaan enggan menurunkannya.

“Seorang penunjuk perasaan digari dan ditampar ketika dibawa ke balai polis Dang Wangi,” katanya.

Dia mendakwa sekurang-kurangnya 5 yang lain turut cedera dan permintaan supaya pegawai DBKL terbabit menunjukkan pengenalan diri, tidak diendahkan.

Bagi pihak DBKL, pegawai penguat kuasa berkata dia ditumbuk oleh salah seorang penunggang basikal ketika protes itu berlaku.

Ketua Polis daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman kemudian mengesahkan seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan selepas enggan menurunkan kain rentang.

“Seorang pegawai penguat kuasa DBKL juga memfailkan laporan mendakwa ditumbuk ketika beliau dan rakan sekerja cuba menurunkan kain rentang itu.

“Suspek akan direman dan disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya dipetik berkata kepada The Star.

Sementara itu, Datuk Bandar KL Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata tuduhan sewenang-wenang seperti itu yang dilemparkan kepada pegawai DBKL adalah perkara biasa.

“Polis akan putuskan siapa salah. Jadi tunggu dan lihat apa sebenarnya yang berlaku,” katanya menerusi pesanan teks kepada The Star. - FMT

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments