KUALA LUMPUR: Pemburu gajah haram yang paling dikehendaki Jabatan Perhilitan tumpas selepas tujuh warga tempatan ditahan dalam beberapa serbuan di kawasan Taman Negara, Aring 5, Gua Musang Kelantan, Jumaat lalu.
Suspek berusia lingkungan 20-50 tahun itu ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Perhilitan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam operasi 1Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON) pada jam 3 petang.
Difahamkan, kumpulan pemburu berasal dari Kelantan ini paling dikehendaki Perhilitan sejak enam tahun lalu kerana terlalu aktif melakukan pemburuan khususnya bagi mendapatkan gading gajah di negeri itu.
Mereka turut dipercayai bekerja sebagai penoreh getah namun turut aktif memburu gajah kerana mendapat bayaran lumayan hasil kegiatan itu.
Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Abdul Kadir Abu Hashim, berkata hasil daripada penahanan itu, pihaknya berjaya menemui alatan pemburuan termasuk senjata api bernilai RM500,00.
"Pihak kami sudah lama mengesan aktiviti ini dan baru sekarang mereka ditahan selepas memburu sekurang-kurangnya 15 ekor gajah di Taman Negara untuk tujuan mendapatkan gading yang bernilai tinggi.
"Hasil pemburuan itu, mereka dipercayai menjual gading itu dengan nilai RM1,500 hingga RM2,000 sekilo.
"Selain gajah, mereka turut memburu hidupan liar lain seperti seladang, rusa sambar dan kambing gurun," katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Ketika suspek ditahan, turut ditemui bersama mereka adalah empat laras senjata api jenis senapang patah dan senapang 12bore, 77 peluru jenis bore, 33 peluru jenis slug, 22 paku, tiga unit baham letupan serta senjata tajam.
Susulan penahanan itu, Abdul Kadir berkata, pasukannya menyerbu tiga premis di Tanah Merah, kelmarin dan merampas dua batang gading gajah, daging gajah salai serta tiga unit gergaji dan pelbagai kelengkapan lain.
"Serbuan kedua di empat premis sekitar Gua Musang, semalam pula, pihaknya merampas pelbagai jenis senjata yang dipercayai digunakan dalam aktiviti haram itu," katanya.
Semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula kelmarin dan disiasat mengikut Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Abdul Kadir berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti kumpulan pemburu haram lain dan tindakan sedang diatur untuk membawa semua mereka ke muka pengadilan. - BH Online
No comments:
Write comments