ISKANDAR PUTERI: Polis menahan dua pengawal keselamatan sebuah sekolah menengah, di sini, semalam selepas disyaki menceroboh masuk asrama serta mencuri pelbagai barangan milik pelajar.
Kedua-dua suspek lelaki berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sekolah berkenaan, kira-kira jam 9.15 malam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad, berkata suspek ditahan polis susulan laporan daripada seorang guru lelaki sekolah berkenaan, semalam.
"Siasatan polis di pondok pengawal keselamatan menemui pelbagai barangan dipercayai milik pelajar. Barangan ini dirampas untuk dijadikan bahan bukti," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara barangan yang ditemui ialah sebuah bakul, penyembur serangga, pencuci pinggan mangkuk, penyembur minyak wangi dan pen marker.
"Kedua-dua suspek mengaku masuk ke dalam asrama pelajar lelaki dan perempuan di sekolah berkenaan serta mengambil wang tunai dan barangan ketika pelajar sedang bercuti sekolah.
"Polis juga mendapati seorang daripada suspek turut memilik rekod orang dikehendaki di IPD Seri Alam, dekat sini, bersabit Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi," katanya.
Noor Hashim berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan kerugian, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun dan denda. - BH Online
No comments:
Write comments