Monday, 6 February 2017

Bapa cuba bunuh anak dengan racun tikus

HONG KONG: Lelaki berusia 35 tahun, diberkas selepas cuba membunuh dua anaknya, masing-masing lelaki berusia enam tahun dan perempuan berusia lapan tahun. 

Suspek dikatakan cuba memaksa kedua-dua anaknya minum racun tikus di rumah milik keluarganya di Tuen Mun. 

Difahamkan, suspek dipercayai mabuk ketika kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 1.30 pagi tadi (waktu tempatan). 

Menurut sumber polis, suspek yang juga pekerja pusat pengebumian itu turut berhadapan tuduhan mencekik anak perempuannya. Namun, tindakannya itu berjaya dihalang kakaknya, yang berusia 46 tahun. 

"Kakak suspek berjaya merampas dan mencampakkan racun tikus itu sebelum mengunci diri dan dua anak saudaranya di dalam sebuah bilik. "Beliau kemudian menghubungi pihak berkuasa," kata sumber. 

Sumber berkata, terdapat kesan lebam pada tengkuk anak perempuan suspek dan beliau dibawa ke Hospital Tuen Mun untuk rawatan. "Adiknya juga dibawa ke hospital yang sama untuk pemeriksaan," katanya. 

Menurut polis, ibu kanak-kanak itu tiada di rumah ketika kejadian kerana melarikan diri ketika cuti Tahun Baharu Cina selepas bergaduh dengan suaminya. Kakaknya dipercayai mengunjungi keluarga suspek sempena cuti Tahun Baharu Cina. 

Suspek kini masih ditahan di Balai Polis Tuen Mun untuk disoal siasat sebelum didakwa di mahkamah. 

Sementara itu, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan, sebanyak 653 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 58.4 peratus membabitkan ibu bapa. - AGENSI

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments