MIRI: Polis menahan 10 pemilik akaun Facebook di Sarawak atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan media sosial setakat ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dev Kumar berkata, kebanyakan kesalahan ialah memuat naik berita palsu dan kenyataan berunsur fitnah.
“Sekalipun diberi amaran berulang kali oleh polis, sesetengah netizen terus melanggar undang-undang dengan memuat naik berita tentang jenayah yang tidak pernah berlaku di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berita palsu berkecenderungan tersebar lebih cepat, sekali gus mewujudkan perasaan takut dan bimbang dalam kalangan masyarakat.
“Apabila laporan polis dibuat terhadap satu-satu akaun Facebook, pemiliknya hanya menunggu masa sebelum dikesan dan ditahan polis,” katanya.
Kenyataan Dev Kumar itu sebagai respons kepada tangkapan terkini membabitkan seorang mekanik kereta berusia 23 tahun dari Long Atap, Akah Ulu Baram di Miri, selepas dia memuat naik berita palsu kes rogol dan bunuh semalam.
Suspek dan pemilik akaun Facebook itu yang menggunakan nama “Ody Chica Rito” memuat naik gambar seorang wanita ditemui terbaring dalam keadaan bogel di tengah-tengah jalan, semalam.
Pemilik akaun Facebook itu mendakwa mangsa dirogol dan dibunuh sebelum mayatnya dibuang berdekatan sebuah restoran makanan segera di Miri.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat pagi semalam dan suspek ditahan 11.30 malam tadi.
Mengulas tangkapan terkini, Dev Kumar berkata, suspek disiasat menurut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 500 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - FMT





No comments:
Write comments