Thursday, 16 February 2017

‘Ramai doktor pelatih alamai kejutan budaya’


PETALING JAYA: Ramai doktor pelatih yang berkhidmat di hospital kerajaan tidak bersedia menghadapi realiti sebenar kerja mereka, kata seorang doktor kanan kerajaan.

“Mereka mengalami kejutan budaya,” katanya kepada FMT sambil menambah keadaan itu sukar khasnya bagi mereka yang dilatih di luar negara.

Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, pelatih tidak tahu mengenai realiti itu sehingga mereka menyertai perkhidmatan itu dan terpaksa bekerja untuk tempoh panjang dan di bahagian bawah hierarki, yang bermakna mereka perlu menerima arahan daripada jururawat juga.

“Ada yang fikir mereka akan diberikan pejabat berhawa dingin, tidak perlu berlari ke sana sini dan melakukan kerja tertentu kerana ia adalah kerja jururawat.

“Ada juga yang tidak tahan dengan darah dan terpaksa melengkapkan latihannya. Mereka tidak mempunyai minat untuk menjadi seorang doktor.”

Isnin lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dilaporkan berkata, doktor pelatih adalah penjawat awam teramai dipecat dan ada yang ponteng kerja sehingga 400 hari kerana mereka tidak mampu berdepan tekanan kerja di hospital kerajaan.

Mengenai waktu kerja panjang untuk pelatih doktor, doktor kanan itu berkata, ia adalah perlu kerana jumlah mereka yang ramai bermakna mereka cenderung kurang terdedah kepada tugas sebagai doktor.

“Jika mereka mahu pendedahan dan pengalaman, mereka perlu bekerja waktu panjang. Ini adalah jalan yang perlu dilalui doktor pelatih. Doktor membuat keputusan hidup atau mati dan anda perlu mempunyai pengetahuan serta pengalaman untuk membuat keputusan itu.”

Beliau setuju dengan Ali yang pelatih tidak mampu menangani tekanan akan ponteng kerja dan sebab itu, ia adalah langkah baik kerajaan mengambil doktor pelatih sebagai pekerja kontrak.

Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan sebahagian daripada 2,600 graduan perubatan yang tidak mendapat tempat sebagai pelatih boleh bekerja di hospital kerajaan sebagai pekerja kontrak, mulai Disember lalu.

Satu laporan media pada 2014 berkata, kira-kira 7,000 pelajar lulus sebagai doktor setiap tahun dari lebih 300 universiti yang diiktiraf di dalam dan luar negara, tetapi hanya 5,000 tempat disediakan untuk pelatih doktor setiap tahun.

Seorang lagi doktor yang enggan namanya disiarkan bersetuju ramai doktor pelatih mengalami kejutan budaya, tetapi katanya, kebanyakan mereka yang beliau kenal mampu menangani masalah itu.

“Daripada apa yang saya nampak, ini masalah terpencil. Saya belum nampak doktor pelatih yang dipecat kerana masalah disiplin.

“Sudah tentu akan ada beberapa orang yang mempunyai masalah sikap. Pada asasnya, doktor pelatih adalah pelatih dan seperti pelatih dalam industri lain, anda akan mempunyai beberapa pelatih tidak baik. Tetapi, kebanyakan mereka yang saya temui baik-baik saja.” - FMT

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments