Wednesday 7 June 2017

Pelakon HK Dikecam Menipu Diragut Di Malaysia


BINTANG filem Hong Kong, Grace Lam mengundang kemarahan MCA yang membidasnya berhubung video palsu yang menggambarkan dirinya dirompak di Bentong, Pahang, kerusi parlimen yang diwakili presiden parti itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dalam satu kenyataan media, Majlis Presiden MCA yang bermesyuarat pagi tadi berkata, Lam sebagai tokoh awam telah memaparkan teladan yang tidak baik.

“Dengan berbuat demikian, beliau telah mencemarkan imej dan reputasi Bentong serta Malaysia. Walaupun beliau kemudiannya memohon maaf, ia gagal membaiki kerosakan yang dilakukannya.

“Rakyat tempatan negara ini tidak terkecuali daripada undang-undang jika mereka membuat berita palsu untuk kepentingan politik, dan perkara sama harus dikenakan ke atas warga asing yang melanggar undang-undang dan norma kesopanan.

“Pada masa yang sama, MCA juga menggesa rakyat supaya sentiasa berwaspada terhadap berita palsu,” katanya.


Majlis itu juga kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak tertentu yang mencetuskan berita palsu mengenai aktiviti sesuatu jenayah kerana ini adalah tidak adil kepada pihak penguatkuasaan yang bertungkus-lumus menjalankan kewajipan mereka.

Bagi Lam, menurut MCA, terpulang kepada jabatan imigresen menentukan sama ada sekatan atau larangan perjalanan dikenakan ke atasnya berdasarkan Akta Imigresen.

“Jabatan Imigresen, yang mempunyai kuasa untuk menyiasat di bawah Akta Imigresen, perlu membincangkan sama ada untuk menghalang kemasukan Lam atau tidak. Pihak polis juga perlu menyiasatnya atas dakwaan fitnah jenayah dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, presiden MCA menyokong saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya Lam disenaraikan sebagai individu yang tidak diundang ke Malaysia.

“Menyenarai hitam beliau adalah tindakan yang betul,” kata Liow.

Sabtu lalu, Lam semasa menggunakan rakaman langsung di Facebook di Bentong, memperlihatkan seorang lelaki secara tiba-tiba merampas beg tangannya.

Beliau didakwa memberitahu akhbar Hong Kong bahawa pengurus dan seorang rakan tempatan berjaya mengejar lelaki itu dan mendapat semula baranganya.

Bagaimanapun, beliau kemudian meminta maaf di Facebook dan memaklumkan bahawa kejadian itu adalah satu “salah faham” tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut.

Rakan tempatannya kemudian mengesahkan bahawa kes ragut itu sebenarnya dirancang. – malaysianreview.com

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments