Tuesday 13 June 2017

Parah Terkena Renjatan Elektrik Ketika Halau Burung


GARA-GARA menghalau burung, seorang penyelia pembersihan parah selepas terkena renjatan elektrik di Stesen KTM Sentul di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Suhaidi, 47 dikatakan menjolok sesuatu menggunakan batang aluminium berhampiran kabel elektrik di stesen berkenaan sebelum terkena renjatan.

Difahamkan, mangsa cuba menghalau burung yang bertenggek di kabel elektrik menggunakan batang aluminium.

Tindakan mangsa menggunakan besi aluminium itu membolehkan arus elektrik mengalir dan merenjat tubuhnya.

Mangsa yang dipercayai melecur 80 peratus pada tubuhnya itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

Kejadian tersebut menjadi tular di laman Facebook dan ada netizen memberitahu mangsa terkena renjatan daripada kabel elektrik bervoltan 25 kilovolt (KV). – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments