Sunday, 11 June 2017

Gara-Gara Wajah Serupa, Lelaki Dipenjara 17 Tahun


KANSAS – Gara-gara berwajah sama, seorang lelaki terpaksa meringkuk selama 17 tahun di dalam penjara atas kesalahan jenayah yang tidak pernah dilakukan.

Richard Anthony Jones bagaimanapun dibebaskan selepas hakim mendapati tiada bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan ke atasnya, lapor Mail Online.

Segala keliruan itu bermula dalam satu kes rompakan bersenjata pada tahun 1999 di mana Jones telah dipenjarakan hanya berdasarkan pengesahan seorang saksi.

Namun tiada bukti fizikal seperti cap jari dan DNA yang mengaitkan Jones dengan kes jenayah itu.

Saksi yang dipanggil untuk pengecaman gagal membezakan Jones dan seorang lagi suspek mempunyai wajah yang serupa iaitu penjenayah sebenar kes itu, Ricky.

Jones dijatuhkan hukuman penjara 19 tahun sebelum mndapat tahu terdapat seorang lelaki di penjara yang sama dengannya memiliki wajah dan nama yang sama.

Jones kemudiannya menghubungi Projek Midwest Innocent yang merupakan organisasi menyediakan khidmat sah terhadap tahanan penjara yang tidak bersalah untuk membantunya.

Peguam yang bertugas bagi kes Jones nyata terkejut melihat rupa dan wajah mereka yang seiras.

Dalam perbicaraan baharu, Jones menyatakan semula keterangan bahawa dia berada bersama teman wanitanya ketika Ricky melakukan jenayah itu.

Jones dibebaskan Khamis lalu dan kini mampu menarik nafas lega apabila dapat kembali ke pangkuan anak-anaknya. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments