Sunday, 11 June 2017

Albino Mangsa Ritual Jalani Rawatan Di AS


KANAK-kanak Albino yang telah dipotong lengan mereka di ritual sihir Tanzania kerana dianggap sebagai hantu menerima rawatan ketika lawatan mereka ke Amerika Syarikat (AS).

Empat kanak-kanak albino dari Tanzania yang kehilangan lengan, jari, dan gigi di dalam serangan kepercayaan tahyul telah mengembara ke AS untuk mendapatkan rawatan prostetik secara percuma.

Kanak-kanak itu, yang berumur 7, 14, 15 dan 16 tahun, dirawat di Hospital Shriners untuk Kanak-kanak di Philadelphia pada Jun.

Di rantau Afrika sub-Sahara, masyarakat Albino diserang untuk mendapatkan bahagian badan mereka yang mempunyai nilai tinggi bagi ritual sihir dan boleh dijual dengan harga mahal.

Kepercayaan sihir menyebabkan ramai penduduk Tanzania mempercayai albino adalah hantu yang membawa nasib buruk.

Barako Lusambo, 7, Mwigulu Magesaa, 14, Emmanuel Rutema, 15, dan Pendo Noni, 16, tiba di AS pada Mac lalu bagi mendapatkan rawatan mereka.

Lawatan selama tiga bulan itu ditanggung Global Medical Relief Fund, sebuah organisasi di New York yang membantu kanak-kanak yang cedera dilanda konflik atau bencana.

Elissa Montanti, pengasas organisasi tersebut berkata, “Semasa mereka sampai ke sini, mereka kehilangan banyak perkara.

“Mereka kehilangan zaman kanak-kanak dan maruah mereka.”

Dermawan itu memberikan mereka tempat tinggal di kota New York di Pulau Staten dan memberikan rawatan di Philadelphia.

Dia berkata, “Kami satukan mereka kembali. Apabila mereka kembali ke tempat asal, mereka akan mempunyai kekuatan baru.”

Untuk tinggal di Amerika Syarikat, kanak-kanak itu perlu mendapatkan tempat perlindungan, dan organisasi terbabit hanya mampu menanggung mereka bagi tempoh mereka menerima rawatan, kata Montanti.

Albinisme merupakan gangguan kongenital yang menyebabkan kekurangan pigmen di dalam kulit, rambut dan mata.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), di rantau Afrika sub-sahara, seramai 5,000 hingga 15,000 orang boleh terlibat. Di Tanzania, keadaan itu telah menjejaskan satu dalam 1,400 orang.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 75 albino dibunuh di Tanzania antara 2000 hingga 2015, tetapi itu adalah sebilangan sahaja daripada serangan yang sering berlaku pada ritual sihir di kawasan terpencil.

Semasa mereka menjalani fasa rawatan dan pemulihan, mereka melukis, bercakap di antara mereka dalam bahasa Swahili, melihat video-video di Youtube dan menonton kartun dan kesemua itu membantu mereka dalam proses pemulihan.

Mereka melawat hospital lima kali dalam tempoh dua hingga tiga bulan mereka menginap di sana.

Mwigulu Magesa, 14, berkata cita-citanya ingin menjadi Presiden Tanzania, manakala Emmanuel Rutema, 15, mahu menjadi doktor.

Walaupun mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, yang dipelajari di rumah, tetapi mereka ditemani Ester Rwela, seorang penterjemah dan pekerja sosial dari organisasi Under the Same Sun, yang menyokong albinisme.

“Semasa kali pertama anak-anak Tanzania datang, tidak banyak perbualan yang berlaku. Mereka sangat pemalu. Mereka duduk setempat di dalam satu kelompok,” kata Dr. Scott Kozin, ketua kakitangan Hospital Shriners.

“Mereka tidak biasa dengan kita dan kita juga tidak biasa dengan mereka, terdapat banyak waktu-waktu yang janggal.

“Setelah mereka mula mengenali kami, barulah mereka mula membuka hati mereka kepada saya dan kakitangan lain termasuk pakar terapi,” katanya.

Kanak-kanak itu sudah pandai memakai dan mengendalikan sendiri lengan prostetik pada badan mereka, membasuh baju mereka dengan tangan, menyidainya dan juga memasak makan malam. – Reuters/mStar Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments