KUALA LUMPUR – Lelaki berstatus ‘Datuk Seri’ yang direman selepas didakwa memukul anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) pada Jumaat lalu didapati positif dadah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap lelaki berusia 29 tahun itu mendapati suspek sebagai positif dadah ketika ditahan Isnin lalu.
Menurutnya, siasatan awal pihak polis juga mendapati suspek pernah mempunyai satu rekod lampau bersabit pengambilan dadah sebelum ini.
“Ujian urine (air kencing) Datuk Seri ini adalah positif dan kita akan ambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya.
“Selain itu, kita juga akan melihat dan menyiasat lain-lain aspek sekiranya ada kegiatan yang melanggar undang-undang,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Tambahnya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 353 kanun yang sama kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.
27 Oktober lalu, tiga anggota RELA iaitu Cheong Mun Khai,19; Leong Jiun Jie,21, dan Lee Weng Poh, 27, masing-masing cedera di kepala, selain sakit di beberapa bahagian badan selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki itu.
Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu dikatakan bermula apabila mereka meminta lelaki terbabit mengalihkan Toyota Vellfire miliknya yang mengganggu lalu lintas, namun dia enggan berbuat demikian. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments