TELEFON pintar iPhone merupakan salah satu gajet paling menjadi kegilaan pada masa kini dan dikehendaki ramai orang.
Namun janganlah terlalu ghairah mahu mendapatkannya hingga sanggup membeli daripada orang yang menjualnya pada harga terlalu murah. Itu semua penipu!
Inilah yang berlaku kepada seorang wanita dari Milwaukee, Wisconsin apabila hasratnya memiliki telefon pintar tersebut terbantut.
Lapor Dailymail, wanita yang tidak mahu dikenali itu mendakwa, dia diperdaya seorang lelaki yang menjual telefon tersebut pada harga AS$100 (RM411) sempena jualan ‘Black Friday’.
Apabila pulang ke rumah dan membuka kotak telefon alangkah terkejutnya dia apabila mendapati hanya ada 11 potongan kecil ubi kentang di dalamnya dan bukan iPhone.
“Dia ada segalanya, baju, kasut, jam tangan, dompet, DVD, CD, telefon bimbit dan juga komputer riba.
“Saya tanya kepada lelaki itu mengenai iPhone 6. Dia kata ada dan akan jual pada saya cuma AS$100,” dakwa mangsa.
Lelaki tersebut memberitahu telefon pintar itu sudah diaktifkan dan bil pertamanya perlu dibayar pertengahan bulan depan, sebelum menyerahkan kepadanya dalam keadaan baik.
Mangsa berkata, dia turut meminta lelaki itu menghubungi telefon bimbit tersebut bagi memastikan ia benar-benar berfungsi dan ianya memang berdering.
Justeru dia menyerahkan wang AS$100 dan beredar bersama sebuah kotak yang kononnya mengandungi sebuah iPhone dan juga resit.
“Kotak itu berat dan sebaik sampai di rumah saya membukanya namun ia hanya dipenuhi 11 potongan kecil ubi kentang!”
Potongan ubi kentang tersebut bagaimanapun disertakan bersama dengan pengecas telefon pintar. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments