Friday, 10 November 2017

Tugu Antirasuah Dibina Pun Secara Rasuah


JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia menyiasat kes rasuah berkaitan pemberian tender projek pembinaan tugu antirasuah dan taman awam di Riau, Sumatera.

Tugu berbentuk ekor naga emas mengelilingi keris itu dirasmikan pada lewat 2016 sempena Hari Antirasuah Antarabangsa dan sebagai simbol perjuangan wilayah itu untuk memerangi rasuah.

Bagaimanapun, pendakwa raya di Riau berkata, proses tender projek itu dimanipulasi oleh 13 pegawai kerajaan dan lima ahli perniagaan.

Katanya, kumpulan itu membuat satu konspirasi yang menyebabkan kerajaan kerugian Rp 1.2 bilion (RM466,923).

“Kami mengesyaki mereka bekerjasama. Mereka melakukan sesuatu untuk memenangi tender dan memberikan projek itu kepada kontraktor.

“Pegawai kerajaan ini sengaja memalsukan beberapa dokumen supaya hanya satu pihak yang mendapat tender itu,” kata pembantu jenayah khas di pejabat pendakwa raya, Sugeng Riyanta.

Menurutnya, suspek yang belum ditangkap berdepan beberapa dakwaan termasuk rasuah, memalsukan dokumen dan melanggar undang-undang yang melarang penjawat awam terbabit dengan proses tender. – AFP/BH ONLINE

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments