Tuesday, 21 November 2017

Status Berbaur Hasutan, Nabil ‘Warning’ Chef Wan


PERCAKARAN ‘manja’ pengacara dan pelakon Nabil Ahmad dan chef selebriti Prof. Datuk Chef Wan dilihat masih tiada penghujungnya.

Terdahulu, chef selebriti ini telah menegur gaya pengacaraan Nabil yang dianggap seolah-olah keterlaluan sehingga membataskan percakapan juri untuk memberi komen.

Baru-baru ini pula, Chef Wan telah mendakwa Nabil adalah punca kepada perosak bangsa sekaligus menganggap pengacara berkenaan agak biadap dan kurang ajar.

Susulan perkara itu, Nabil memberi amaran kepada Chef Wan agar berhenti daripada terus berbuat sedemikian kerana posting berkenaan dianggap terkandung unsur hasutan.

Menurut pemilik nama sebenar, Ahmad Nabil Ahmad tindakan melampau berkenaan secara tidak langsung boleh menjejaskan reputasinya sebagai seorang selebriti.

“Kata-kata yang dimuat naik di laman Instagram itu sudah melampau kerana menuduh saya sebagai punca anak-anak kurang ajar.

“Itu satu isu besar dan serius terutama bila dia hanya menyerang saya seorang, bukannya team Gegar Vaganza.

“Semalam peguam menghubungi saya berkaitan hal itu dan menganggap kenyataan beliau berunsur hasutan dan menyediakan ruang untuk orang membenci saya,”ujarnya memetik mStar Online.

Nabil berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai video komen balas sebagai respon terhadap tuduhan Chef Wan pada Isnin lepas.

Bagaimanapun memetik sumber, Nabil telah memadam video berkenaan selepas menerima reaksi yang pelbagai daripada netizen.

Jelas Nabil lagi, beliau memuat naik video berkenaan atas nasihat peguam yang kini sedang sibuk mengumpul bukti berkaitan isu itu.

“Kalau ikut saya memang saya tidak mahu layan tapi peguam yang menjaga kerjaya saya menganggap ia sebagai sesuatu yang serius dan merosakkan reputasi.

“Dia minta saya respons bukan untuk bergaduh sebaliknya sebagai bukti kepada klien. Saya perlu menjaga nama baik saya kerana beberapa produk besar yang saya tandatangan meminta penjelasan tentang itu,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sebagai seorang yang matang Chef Wan seharusnya bertindak professional dengan cara membuat pertemuan bersama pihak produksi Astro.

Tambahan pula, semua perkara yang dilakukan itu hanya sekadar menjalankan tanggungjawab seperti mana yang diminta oleh pihak berkenaan.

“Gegar Vaganza ini sudah masuk musim keempat dan jika dia tidak suka dengan cara saya dia boleh jumpa pihak Astro dan beritahu tentang itu.

“Jika dia lakukan dengan cara yang betul saya sendiri akan akur. Dia tidak berada dalam produksi dan tidak tahu perjalanan program realiti televisyen,” ujar anak jati kelahiran Negeri Sembilan ini.

Sementara itu, suami kepada bekas pramugari AirAsia, Zira Ayub ini mengakui kini sudah hilang rasa hormat terhadap chef selebriti itu selepas apa yang berlaku.

Katanya, kenyataan negatif yang dilemparkan oleh Chef Wan itu dianggap seakan-akan cuba menutup periuk nasinya.

“Saya sudah hilang hormat padanya, saya hanya hormat dia sebagai orang tua dari saya sahaja. Dulu saya anggap dia seorang ikon contoh untuk berjaya ke peringkat antarabangsa.

“Apa juga restoran yang dia kata sedap pasti saya akan datang cuba (makan). Tapi sekarang maaflah, mungkin tidak lagi,” katanya.

Haih… Sampai peguam sekali dah campur tangan. Macam dah makin berat je nampaknya kes ni ye? Hmmm… – MYNEWSHUB.CC/AM

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments