KRISIS dalaman yang berlaku dalam kumpulan rock Kristal nampaknya menemui keputusan yang agak memeranjatkan.
Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, telah mengumumkan untuk mengundur diri daripada kumpulan tersebut selepas 18 tahun jatuh bangun bersama.
Akuinya, keputusan itu dibuat dengan berat hati kerana Kristal yang menaikkan namanya sehingga ke hari ini.
“Saya mohon maaf (tapi) saya tak pernah buat hal dalam industri. Saya rasa sangat sedih dan saya sayangkan band saya, Kristal.
“Dengan rasminya, depan semua orang… Memang saya mohon untuk undur diri, lebih baik,” katanya dipetik Astro Gempak.
Dalam pada itu, Lan turut terkilan dengan tindakan tiga lagi ahli kumpulannya yang melakukan sesuatu tanpa berbincang terlebih dahulu.
“Selama ini, apa yang mereka buat di belakang saya, tanpa berbincang dengan saya, saya hanya diamkan diri. Saya menjadi orang terakhir yang tahu.
“Apabila saya menyuarakan perancangan projek solo, saya dipersalahkan dan dituduh ‘tunggul’.
“Kalau saya tunggul, sudah 18 tahun saya menjadi tunggul di dalam Kristal. Sebenarnya, projek solo itu bukanlah bererti saya mahu meninggalkan Kristal, malah ada juga anggota lain yang turut buat projek solo. Ini adalah projek sampingan bagi menampung saya dan keluarga, tetapi masih bersama Kristal.
“Apabila mereka menyuarakan untuk merehatkan saya, maka saya akan berehat dan tidak ada lagi perbincangan selepas ini,” katanya kepada BH Online.
Beberapa hari lepas, menerusi laman Instagram, kumpulan itu telah mengeluarkan kenyataan untuk merehatkan Lan ekoran penglibatannya di dalam program Gegar Vaganza 4 (GV4).
Mereka juga menyatakan akan mengadakan uji bakat untuk mencari vokalis baharu Kristal.
Dalam pada itu, Lan menjelaskan dia tidak berdendam dengan anggota kumpulan tersebut kerana sudah menganggap mereka seperti ahli keluarga sendiri.
Lan turut menyeru peminat Kristal untuk terus memberikan sokongan kepada Kristal sama seperti yang diberikan kepada mereka sejak 18 tahun lalu.
Menurut Lan, dia sudah mempunyai perancangan untuk ulangtahun dua dekad kumpulan tersebut. Tetapi, nampaknya perancangan itu terpaksa dilupakan.
“Sebenarnya saya ada perancangan sempena 20 tahun Kristal, tetapi apabila kemelut ini terjadi, semua apa yang saya rancangkan sudah berakhir.
“Selepas ini saya akan memfokuskan kepada kerjaya seni saya secara solo,”tambahnya.
Menerusi laman Instagramnya, penyanyi 32 tahun ini turut menjelaskan kenyataan yang diberikannya hanya penjelasan dan bukan provokasi dari pihaknya.
“Alhamdulillah. Hanya sedikit perkongsian informasi mengenai band dan kenyataan balas sahaja. Tiada tokok tambah mahupun provokasi daripada saya.
“Saya anggap semua persoalan dah terjawab dan saya tidak akan lagi memberi apa-apa kenyataan selepas ini,” tulisnya.
Nampaknya nama pengguna yang digunakan di laman Instagram sudah pun ditukar menjadi @lansoloofficial. – MYNEWSHUB.CC/SA
No comments:
Write comments