KELEKAAN seorang wanita menggunakan telefon ketika berjalan, akhirnya membawa padah apabila dia dilanggar oleh sebuah kereta yang sedang mengundur.
Rakaman kejadian yang menjadi tular menerusi media sosial itu dipercayai berlaku di sebuah kawasan di China, namun tidak dinyatakan bilakah kejadian tersebut berlaku.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertututp (CCTV), mangsa pada mulanya dilihat sedang berjalan santai menuju ke sebuah gudang yang dipercayai tempat kerjanya.
Namun mangsa yang sedang leka menggunakan telefon bimbitnya tidak menyedari bahaya yang sedang ‘mengundur’ ke arahnya.
Pemandu kenderaan MPV itu juga tidak menyedari kehadirannya lalu merempuh mangsa sehingga terjatuh.
Mangsa yang terkejut kemudian menendang belakang kereta itu menggunakan kakinya, bagaimanapun tindakan tu masih belum disedari pemandu terbabit.
Menyangka tiada sebarang objek di belakang, pemandu itu kemudian terus mengundur menyebabkan badan mangsa terlipat dan terperosok di bawah kereta itu.
Beberapa rakan sekerja yang dipercayai terdengar suara jeritan mangsa kemudian segera datang dengan forklift untuk mengangkat kereta itu bagi menyelamatkan mangsa.
Mereka kemudian menghulurkan bantuan dengan menarik mangsa keluar dari bawah kereta tetapi difahamkan, wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments