AKIBAT membuat suntikan kolagen bagi meruncingkan dagu, dua individu ini pernah teruk diejek mempunyai wajah persis ‘Hantu Dagu’, ‘Firaun’ dan sebagainya.
Ekoran tidak tahan dilempar kata-kata kesat, Sarina Shafie, 38 dan Baharun Baharudin, 37, mengambil keputusan untuk membuang kolagen berkenaan bagi mengembalikan keadaan dagu mereka seperti sedia kala.
Menurut Sarina, dia mula mengambil suntikan itu ketika berumur 25 tahun kerana kononnya ingin tampil cantik dan jelita bak seorang selebriti.
“Lagipun saya tidak mahu ketinggalan dengan trend suntikan yang popular pada masa itu,” katanya memetik Harian Metro.
Namun, masalah mula timbul ketika dirinya mula mencecah usia 35 tahun di mana orang ramai mula mempersoalkan ‘kepelikan’ yang berlaku pada wajah wanita itu.
“Ramai yang tegur kenapa dagu panjang, kenapa dagu pelik, kenapa dagu terpisah dari muka, kenapa muka dulu cantik, kenapa muka jadi macam ini dan jutaan lagi persoalan yang membuatkan saya mula risau kerana saya sendiri tidak perasan dengan perubahan wajah saya.
“Menjadikan saya lebih tertekan selaku pemilik produk kosmetik, saya selalu mengajar make up secara siaran langsung di media sosial, namun terganggu apabila ada komen yang menghina dan mengutuk saya secara terbuka.
“Malu dan sedih sangat dan lebih membimbangkan dagu berubah menjadi panjang dan sakit di sesetengah bahagian.
“Akhirnya saya memberanikan diri untuk pergi ke klinik dan doktor menyarankan saya membuang collagen itu kerana terdapat banyak implikasi antara fibrosis dan kanser,” kata pemilik produk Syok Cosmetics itu.
Tambah Sarina lagi, kos untuk suntikan hanya berharga RM300 sahaja. Tetapi membuangnya pula memakan sehingga RM12,000 di mana 40 kali ganda daripada harga ‘membuat’.
“Azabnya jangan cakaplah. Hanya Tuhan saja yang tahu. Rasa nak mati pun ada,”ujarnya.
Memetik beberapa sumber,MYNEWSHUB difahamkan proses pembedahan yang dilakukan oleh Sarina sepanjang beberapa bulan itu mengambil masa sehingga 4 jam untuk setiap rawatan.
Bukan itu sahaja, malah wanita ini turut menerima lebih kurang 20 suntikan ubat tahan sakit yang dicucuk sekitar mulut dan dagunya.
Apa yang lebih mengerikan, doktor turut menebuk satu lubang di bawah dagu Sarina untuk memasukkan besi dan dibiarkan panas bagi mencairkan kolagen berkenaan sebelum ia disedut keluar.
“Memang ngeri bila diingatkan kembali saat pembedahan dilakukan. Selepas itu, muka saya bengkak teruk dan tidak boleh makan selama hampir dua minggu dan sembuh enam bulan kemudian,” tambahnya.
Selain Sarina, seorang lagi individu bernama Baharun atau lebih dikenali sebagai Embun turut berkongsi pengalaman yang sama.
Menurut embun, dia turut mengambil tindakan membuang kolagen yang disuntik pada bahagian dagunya sekitar Mei lalu kerana kelihatan semakin pelik selepas ditegur oleh segelintir orang ramai.
“Saya membuat dagu itu kerana dulu badan saya berisi dan muka saya seperti tidak mempunyai dagu.
“Bagaimanapun selepas mengamalkan diet sehingga berjaya menurunkan berat badan, saya mendapati dagu saya semakin panjang.
“Reaksi orang ramai melihat saya, sentiasa dengan pandangan aneh. Kenapa dagu kau panjang dan senget serta pelbagai gelaran menghina yang saya terima, cukup memalukan,” katanya.
Tambah Embun lagi, dia terpaksa melakukan pembedahan sebanyak dua kali di negara jiran yang tidak didedahkan namanya tetapi tiada ada berlaku dan kesan tetap sama.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana suatu hari dia berjaya bertemu dengan pakar perubatan yang berhasil membuang ‘kolagen saka’ tersebut.
“Saya gelarkan kolagen ini sebagai ‘saka’ kerana dua kali bedah pun masih tak nak keluar sepenuhnya. Hampir RM10,000 duit saya melayang,” katanya saat berkongsi pengalaman ngeri itu.
Haaa…Dah baca? Jadi kalau nak buat suntikan apa-apa ke lepas ni fikirlah dulu sehabis-baik ya! Bak kata orang, berfikirlah dulu sebelum bertindak hokehhhh…–MYNEWSHUB.CC/AM
No comments:
Write comments