SEORANG warga emas cedera teruk selepas bergelut dengan dua lelaki yang menyamunnya dalam kejadian awal pagi Isnin, di Taman Tambun Indah, Pulau Pinang.
Lapor Oriental Daily, sebelum kejadian mangsa yang hanya dikenali sebagai Chen, 78, bersama dua lagi rakannya Cen, 70 dan Liu, 66, keluar berjoging di persiaran kawasan perumahan kira-kira jam 6 pagi.
Bagaimanapun ketiga-tiga mangsa secara tiba-tiba dihampiri sebuah kereta Proton Wira berwarna kelabu.
Dua suspek kemudian keluar dari kereta menahan mereka, manakala pemandu menunggu di dalam kereta.
Dapat merasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku, kesemua mangsa segera melarikan diri namun malang buat chen apabila tersadung di atas jalan raya gara-gara badannya sudah dimamah usia.
Seorang lagi rakannya, Liu, turut terjatuh di jalan raya namun dia sempat berdiri semula namun ditolak oleh suspek.
Chen yang mengalami kecederaan di lutut akibat terjatuh, terpaksa bergelut dengan suspek yang cuba meragut rantainya.
Berang dengan tindakan mangsa yang cuba melawan, salah seorang suspek secara ganas memukul wanita malang itu dengan sebatang kayu.
Warga emas itu akhirnya mengalah dan terpaksa membiarkan rantainya diragut suspek yang kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.
Menurut Chen, dia pada awalnya menyangka dua suspek itu mahu menculiknya, menyebabkan dia sedaya upaya bergelut dengan suspek agar tidak ditarik masuk ke dalam kereta.
Wanita berusia 78 tahun itu cedera di tapak tangan, tangan, lutut dan mata kanan. Akibat daripada insiden itu juga, Chen dikatakan tidak dapat mengangkat tangan kanannya dan lebih teruk lagi dia tidak dapat menaiki tangga.
Difahamkan, sudah menjadi kebiasaan buat mangsa dan rakan-rakannya keluar pada awal pagi untuk bersenam di kawasan perumahan mereka sejak lima tahun yang lalu dan ini adalah kali pertama mereka mengalami kejadian seperti ini. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments