YANGON – Batu jed seberat 300 tan, yang ditemui di Hpakant, Kachin akan dijual di Emporium Permata Myanmar pada Disember, lapor agensi berita China Xinhua.
Pakar batu permata tempatan dan asing dijemput untuk menilai harga batu jed itu, memetik laporan Global New Light.
Batu jed berkenaan digali pada Oktober 2016 di lombong Mat Lin Chaung, yang dikendalikan secara bersama oleh Kementerian Sumber Asli dan Pemuliharaan Alam Sekitar dengan syarikat permata swasta, Yandanar Taung Tann.
Disimpan di sebuah gudang di Nay Phi Taw yang dikawal ketat, batu jed itu kini bernilai lebih 10 bilion kyat (US$ 7.35 juta), dan kerajaan telah mengumpulkan lebih 2 bilion kyat sebagai cukai pemecahan.
Keuntungan penjualan jed itu akan dikongsi antara kerajaan dengan syarikat swasta.
Menurut statistik rasmi, Myanmar memperoleh US$23 juta hasil daripada eksport jed pada suku pertama tahun fiskal semasa 2017-18 yang bermula April, meningkat sebanyak US$746,000 berbanding tempoh sama tahun lepas.
Myanmar juga mengumpul sebanyak 61.9 bilion kyat (US$45 juta) lebih awal iaitu pada Mac, apabila lebih 4,200 jed mentah dijual di pameran jed yang ditaja kerajaan, kata Kementerian Perdagangan.
Kebanyakan jed Myanmar dieksport ke China dan India, dengan China sebagai pembeli terbesar.
Pada tahun fiskal 2016-2017, Myanmar mengeksport lebih 11,000 tan jed mentah bernilai US$246.7 juta ke pasaran di negara jiran. – BERNAMA
No comments:
Write comments