Friday, 27 October 2017

Penarik Kereta Dihukum Mati Bunuh Pengasas AmBank


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas pemandu trak tunda selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh pengasas Arab Malaysian Bank (AmBank) Hussain Ahmad Najadi pada 2013.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman juga menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas Koong Swee Kwan, 48, selepas didapati bersalah atas pertuduhan cuba membunuh balu Hussain, Cheong Mei Kuen, 53.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang diwakili peguam Datuk Michael K.L Chee, menjalani hukuman penjara tu bermula dari tarikh tangkap pada 22 Sept 2013.

Ab Karim dalam penghakimannya berkata keterangan pembelaan tertuduh hanyalah cerita rekaan semata-mata dan tidak logik serta gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Katanya berdasarkan luka pada tubuh si mati, dia ditembak dalam keadaan dinamik iaitu berubah-ubah kedudukannya dari belakang ke depan dan punca kematian adalah disebabkan tembakan berganda.

“Kejadian berlaku pada siang hari di tempat awam. Perbuatan ini berlaku di hadapan isteri yang membawa kepada trauma berpanjangan,” kata Ab Karim yang menyifatkan perbuatan itu sebagai kesalahan serius.

Sementara itu, Cheong dalam kenyataan impak mangsa berkata beliau mengalami trauma dan kesedihan yang berpanjangan sejak kejadian yang meragut nyawa suaminya itu dan peristiwa hitam tersebut tidak mudah lenyap dari ingatannya.

“Saya kehilangan suami saya, Hussain Najadi, seorang yang sangat baik dan jujur. Ketenangan jiwa saya tidak mungkin dapat dikembalikan. Siapa yang dapat kembalikan kehilangan yang saya alami? Masa tidak akan dapat memulihkan kesengsaraan dan trauma saya.

“Saya mahu melihat keadilan untuk suami kesayangan saya dan bagi diri saya, dan di Mahkamah Undang-Undang, keadilan mesti dilaksanakan,” katanya yang membacakan kenyataan itu dalam bahasa Inggeris dari kandang saksi dengan suara tersekat-sekat menahan sebak.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Mohd Hamzah Ismail dan Siti Aisyah Ahmad.

Siti Aisyah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum kerana kesalahan itu adalah serius dan supaya hukuman itu menjadi pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama sebagai jaminan melindungi kepentingan awam.

Koong, didakwa membunuh Hussain, 75, di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin di No 4, Lorong Ceylon di sini antara 1.30 tengah hari dan 2 petang pada 29 Julai 2013 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Koong juga berdepan pertuduhan cubaan membunuh Cheong di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Sept 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap Koong atas tuduhan membunuh Hussain dan hukuman penjara 18 tahun kerana didapati bersalah cuba membunuh Cheong.

Bagaimanapun pada 14 Dis 2016, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mengetepikan sabitan dan hukuman gantung sampai mati terhadap Koong dan memerintahkan kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi di hadapan hakim baharu.

Mahkamah Persekutuan mendapati keputusan itu prejudis terhadap Koong kerana Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes bunuh itu juga adalah hakim sama yang mendengar rayuan pemandu teksi yang dituduh memiliki sepucuk pistol serta peluru hidup berhubung kes bunuh itu.

Dalam kejadian itu, Hussain maut manakala isterinya cedera parah setelah ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong berkenaan selepas berunding mengenai urusan perjanjian tanah.

Perbicaraan semula di Mahkamah Tinggi bermula pada 27 Mac lepas dengan 17 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments