PUTRAJAYA – Bagi yang terlibat dalam perniagaan secara talian, mungkin biasa dengan istilah PM yang merujuk kepada Private Message jika ada bakal pelanggan berminat dengan produk dijual.
Namun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam satu kenyataan hari ini memberi amaran kepada peniaga atas talian supaya tidak lagi mengamalkan akronim itu ketika urus niaga.
Malah peringatan keras itu turut melibatakan mana-mana laman sesawang perniagaan agar wajib memaparkan harga barangan yang dijual dan menerangkan maklumat produk dengan jelas seperti apa yang pengguna ingin tahu.
Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin berkata tindakan ini bagi melindungi hak pengguna malah undang-undang sedia ada mewajbkan peniaga meletakkan harga dan informasi sebelum transaksi.
“Penguat kuasa KPDNKK akan memburu mereka yang didapati mengiklankan produk menerusi atas talian tetapi tidak pula menyatakan tanda harga barang dijual sama ada sengaja atau tidak,” tegas beliau lagi.
Penggunaan ungkapan frasa seperti “PM saya, sis” atau “Done PM” adalah antara kata kunci yang membolehkan penguat kuasa dapat mengesan mana-mana peniaga onlinejika gagal memaparkan tanda harga.
Usahawan atas talian bahkan kini akan dipantau sama seperti yang dilakukan kepada peniaga konvensional lain dan hukuman boleh dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan.
Peniaga terbabit ujar Mohd. Roslan, sepatutnya perlu mengikut peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dengan harus memaparkan beberapa maklumat seperti berikut:
*Harga perlu dibayar
*Nama penjual atau syarikat
*Nombor Pendaftaran Perniagaan
*Maklumat untuk dihubungi seperti nombor telefon atau alamat atau emel
*Keterangan produk
*Kaedah pembayaran
*Terma dan syarat
*Anggaran masa penghantaran
Individu yang gagal mematuhi lapan ketetapan asas disenaraikan oleh pihak KPDNKK boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih daripada tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kami menguatkuasakan undang-undang ini setelah sekian lama memberi kelonggaran kepada peniaga untuk menyesuaikan diri. Kami mahu pengguna dilindungi dengan lebih baik dan hak mereka mesti dilindungi.
“Mereka mesti dapat buat keputusan pembelian selepas dapat segala dengan info dipaparkan termasuk caj tersembunyi. Jika misalnya jual kucing, dia mesti siar harga yang mahu dijual dan tidak lagi berkata PM jika minat.”
“Kami setakat ini tidak mempunyai masalah dengan peniaga e-dagang yang besar seperti Zalora atau Lazada kerana mereka masih patuh lagi kepada undang-undang yang ditetapkan.” tambah Roslan.
Beliau juga menyatakan bahawa sudah lama masa diberikan dan mulai sekarang semua peniaga atas talian perlu memaparkan tanda harga. Orang ramai juga digesa untuk memberi bekerjasama dengan pihak KPDNKK.
Ini demi memastikan setiap peniaga mematuhi undang-undang yang ditetapkan, dan jika ada kes, mereka bole terus menghubungi bahagian penguatkuasaan KPDNK menerusi talian 1-800-886-800. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments