Wednesday, 9 August 2017

Gempar Buaya Santai Di Taman Piknik Singapura


SINGAPURA – Setelah kecoh dengan kemunculan sekumpulan puluhan babi hutan di beberapa lokasi awam, kali ini warga Singapura gempar dengan kehadiran sekawan buaya liar pula.

Media tempatan melaporkan, sejak lebih seminggu lalu, dua kes buaya dilihat berjaya berenang santai begitu dekat dengan pantai Pasir Ris Park – iaitu antara tapak perkelahan popular orang ramai di republik tersebut.

Sebahagian penduduk dan pengunjung yang mendapat tahu tentang perkara itu, kini melahirkan rasa bimbang malah Lembaga Taman Negara (NParks) mengesahkan, ia menerima dua aduan mengenai kejadian tersebut.

Agensi itu sedang memantau keadaan dan akan mengambil langkah-langkah kecemasan untuk memindahkan buaya tersebut sekiranya ia terus ‘berdegil’ menghampiri kawasan yang dikunjungi orang awam di Pasir Ris Park.

Pada Sabtu minggu lalu, seekor buaya dilihat di perairan berdekatan pantai di taman itu bahkan beberapa hari sebelum ini pada 1 Ogos, seekor buaya juga dilihat di kawasan berlumpur di Sungei Tampines di Pasir Ris Park.

Laman Facebook komuniti setempat iaitu Pasir Ris Sailors, turut memuat naik rakaman video berdurasi hampir satu minit yang jelas menunjukkan seekor buaya teruja berenang kurang dua meter dari bahagian pantai berkenaan.

Perkembangan ini membimbangkan kerana reptilia tersebut ‘hadir’ di kawasan umum lokasi orang ramai berkelah dan beriadah di tepi pantai. Malah ada yang mungkin di situ pada waktu malam untuk menikmati panorama alam.


Justeru, orang ramai yang merancang hendak berbuat demikian di Pasir Ris Park, kini perlu berjaga-jaga dan memandang serius terhadap papan notis amaran yang sudah dipasang di sepanjang taman berkenaan.

“Buaya itu mungkin jenis air laut (Crocodylus porosus), yang diketahui bebas berenang di Selat Johor. Ia cari makan dan berehat di kawasan paya bakau dan air tawar,” jelas Pengarah Kumpulan Taman, NParks, Chia Seng Jiang.

Reptilia itu lazimnya dijumpai di kawasan perairan atau lumpur jauh dari para pengunjung. Sejak beberapa hari lalu, sebilangan netizen juga memuat naik gambar bagi menunjukkan buaya yang berada di perairan Pasir Ris Park.

Malah ada catatan di Facebook oleh seorang pengguna bernama Yusyairah Yusreen yang menyatakan buaya tersebut sudah lama pun berada di kawasan itu sekitar lima tahun dan memberi amaran kepada para pengunjung lain.

Dia menambah terdapat sekitar dua hingga tiga ekor buaya di kawasan yang sama tetapi setakat ini reptilia itu tidak menunjukkan tanda-tanda agresif. Empat notis amaran buaya telah dipasang oleh NParks di sepanjang taman itu.

Tinjauan agensi berita MediaCorp melaporkan, terdapat ramai pengunjung yang dilihat beriadah dan mengadakan kegiatan di taman tersebut dan beberapa orang yang ditemui berkata mereka tahu tentang insiden buaya di situ.

“Saya tahu ada buaya. Bimbang juga tetapi saya cuma cakap pada anak-anak supaya jangan pergi ke tepi laut tanpa orang dewasa,” kata Siti Nur Iliyana, 34 tahun, yang sedang bersantai bersama-sama keluarga di Pasir Ris Park.


Seorang lagi pengunjung, Norma Yaacob, yang sering datang ke Pasir Ris Park menemani suaminya menjaring di laut bagi menangkap ketam berkata dia dimaklumkan anak-anaknya tentang buaya di situ dan berasa bimbang.

“Biasanya saya teman suami ke sini rentang jaring dan selepas empat atau lima hari kami datang lagi untuk angkat. Tapi selepas tahu tentang buaya, anak ada juga larang kami buat sementara waktu ini,” luah penduduk Sengkang itu.

Bagi penduduk Pasir Ris, Hashim Masagoes, yang sering berlari-lari anak di situ, dia tidak bimbang kerana “tidak berenang di pantai” meskipun agak terkejut apabila diberitahu tentang kemunculan reptilia itu di taman tersebut.

Segelintir pengunjung yang ditemui ada tidak tahu. Saaria Hassan, 42 tahun, yang juga penduduk Pasir Ris tidak mengetahui tentang insiden buaya di taman itu dan berkata: “Kalau saya tak nampak, saya tak begitu bimbang”.

Sementara itu, jurucakap NParks menekankan bahawa pengunjung perlu prihatin mengenai notis amaran yang dipasang. Orang ramai turut dinasihati melakukan kegiatan di kawasan dan laluan ditetapkan jauh dari tepi pantai.

Sekiranya berdepan dengan buaya, pengunjung perlu bertenang dan berundur secara perlahan-lahan. Malah jangan cuba menghampiri, mengganggu atau memberi makan kepada buaya terbabit. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments