Monday 9 October 2017

iPhone 8 Plus Didakwa ‘Membelon’ Ketika Dicas


BEIJING – Insiden terbaharu melibatkan peranti iPhone 8 yang mengalami masalah bateri menggelembung telah dilaporkan oleh beberapa media tempatan di China.

Apple Inc. kini sedang menyiasat beberapa kes yang serupa di Taiwan dan Jepun di mana letupan telah menyebabkan peranti berkenaan terbuka, sehingga menyebabkan skrin peranti terbuka.

Seorang pemilik iPhone 8 Plus di Jepun yang dikenali sebagai Liu mendakwa perantinya dilihat dalam keadaan retak ketika membuka bungkusan dan memeriksa gajet tersebut.

Liu memberitahu dia membeli peranti berkenaan pada 5 Oktober lalu daripada sebuah laman web atas talian.




Bagaimanapun peranti berkenaan tidak menunjukkan sebarang tanda telah meletup.

“Saya mengambil keputusan untuk tidak mengecas peranti berkenaan dan mengembalikannya kepada pihak penjual,” katanya menurut laporan portal ThePaper.cn.

Dalam sebuah lagi kes berasingan, seorang wanita bernama Wu dari bandar Taichung, Taiwan telah membeli iPhone 8 Plus versi 64 GB yang dibayar secara ansuran bulanan.

Namun peranti yang dibeli pada Sabtu itu hanya bertahan sehingga Selasa petang, apabila ia ‘meletup’ secara tiba-tiba ketika dicas.



Menurut Wu, ketika telefon pintarnya itu menunjukkan hanya 70 peratus baki bateri, dia menyambungkan kabel pengecas ke iPhone-nya namun tiga minit selepas itu alat peranti itu mula merekah dan skrin tercabut.

Sementara itu menurut laporan The Verge, kejadian serupa turut dilaporkan berlaku di Greece dan Kanada, menjadikan jumlah kes bateri menggelembung kepada empat kesemuanya.

Difahamkan, kedua pemilik iPhone 8 Plus terbabit hanya sempat menggunakan peranti selama sehari sebelum skrin tercabut dan bateri ‘membelon’ secara tiba-tiba selepas dicas pada waktu malam.


Insiden laporan berkenaan sememangnya menarik perhatian dunia kerana ia mengingatkan orang ramai sejarah ‘hitam’ membabitkan bateri pada peranti Samsung galaxy Note 7.

Terdapat laporan yang mendakwa bateri yang dibekalkan untuk peranti iPhone 8 berasal daripada syarikat sama yang membekalkan bateri Note 7, iaitu Amperex Technology Limited (ATL) dan LG Chem Ltd. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments