KUMPULAN lagenda rock terkenal, Wing kini hanya tiga anggota dan bukan empat seperti dahulu.
Ini berikutan, pemain gitar utama mereka, Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, telah mengundurkan diri dari kumpulan itu.
Perkara ini turut disahkan oleh vokalis Wings, Awie.
Menurut Awie, keputusan itu diambil secara pemuafakatan selepas perbincangan bersama semua anggota Wings, beberapa bulan lalu.
“Kami tidak melihat perkara ini sebagai isu besar kerana dalam sesebuah kumpulan, memang ada ahli yang keluar masuk. Saya dan Black juga pernah keluar dan kemudian kami kembali bersama.
“Bagi kami, Joe hanya pemuzik dan di luar sana ramai lagi pemain muzik yang bagus. Lagi pun kumpulan ini kuat kerana ia adalah Wings, bukan atas kapasiti individu
“Sesiapa pun boleh membawakan muzik Wings andai seorang daripada kami tiada,” katanya pada sidang media Konsert Wings & Superfriends Belenggu Irama, di Istana Budaya, semalam, seperti yang dipetik BH online.
Sementara itu, Awie memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai pengunduran Joe kerana enggan membuka aib mana-mana pihak.
Meskipun sudah kekurangan ahli, Awie atau nama penuhnya Datuk Ahmad Azhar Othman memaklumkan mereka tidak akan mengambil ahli baharu bagi mengisi kekosongan ditinggal Joe.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 1987 ini kini hanya tinggal Awie, Black dan Eddie.
Terdahulu, muncul desas-desus menyatakan pengguguran Joe daripada Wings timbul selepas tempatnya digantikan pemuzik undangan ketika konsert ambang tahun baharu di Melaka.
Malah, dia juga dikatakan punca konsert sempena ulang tahun ke-30 Wings di Kota Kinabalu, Sabah, ditunda.
Dalam perkembangan lain, kumpulan ini akan mengadakan konsert Wings & Superfriends Belenggu Irama di Istana Budaya pada 6 hingga 9 April depan. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments