SEPANG – Dua suspek wanita asing yang menghadapi pendakwaan hari ini berhubung kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong-nam tiba di Kompleks Mahkamah Sepang di sini dalam keadaan dikawal ketat.
Dua suspek berkenaan tiba dalam konvoi pacuan empat roda berasingan oleh pasukan polis yang menggunakan penutup muka serta diiringi polis trafik dan kereta peronda polis.
Konvoi pertama lapan pacuan empat roda yang membawa suspek pertama tiba di kompleks mahkamah kira-kira 9.34 pagi manakala konvoi enam pacuan empat roda membawa suspek kedua tiba enam minit kemudian.
Kebanyakan media tidak dapat melihat dua suspek berkenaan kerana mereka dibawa ke bahagian belakang mahkamah yang tidak dapat diakses semua media.
Kawalan di sekitar kompleks mahkamah juga diperketatkan dengan kehadiran anggota polis yang agak ketara ramai.
Polis trafik juga mengawal lalu lintas di laluan di hadapan kompleks mahkamah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam berkata dua wanita asing akan dihadapkan di mahkamah hari ini bagi menghadapi tuduhan.
Warga Vietnam dan Indonesia itu ditahan reman selama 14 hari mulai 16 Februari lepas bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.
Jong-nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un berada di klia2 untuk penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.
Jong-nam yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Media yang dibenarkan mengikuti prosiding pendakwaan dalam mahkamah adalah terhad manakala beratus lagi pengamal media berkumpul di luar.
Apabila kelibat seorang peguam tiba di kompleks mahkamah, beliau dikerumuni para wartawan tempatan dan antarabangsa yang sedia menunggu di luar dan mahu mengetahui suspek mana yang beliau wakili.
Gooi Soon Seng dari Tetuan Gooi & Azura berkata beliau mengetuai barisan peguam bagi Siti Aisyah dan dilantik oleh pihak kedutaan Indonesia.
Pasukan beliau akan terdiri daripada lima hingga enam orang peguam. – BERNAMA
No comments:
Write comments