Tuesday, 21 March 2017

Video: Dua Bulan Makan Free Punya Pasal…


GARA-GARA ingin lari dari bayar harga makanan, seorang pelanggan berusia 30-an dibelasah oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah gerai makan di medan selera Taman Samudera, Manjung, Perak tengah hari kelmarin.

Menerusi rakaman video berdurasi 41 saat yang kini tular di media sosial, mangsa dipukul tiga lelaki dipercayai pekerja gerai makan berkenaan, di mana salah seorangnya turut menggunakan sebatang kayu.

Video itu mendapat reaksi negatif orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan berkenaan yang disifatkan sebagai melampau.

Kejadian dikatakan bermula apabila adik perempuan pemilik kedai itu telah bertanya kepada lelaki berkenaan sama ada dia sudah membayar hutang yang sebelum ini.

Difahamkan, mangsa dikatakan tidak pernah membayar makanan sejak lebih dua bulan dia makan di premis itu.

Namun mangsa pada hari kejadian dikatakan bertindak sebaliknya dengan memarahi dan menolak wanita itu sebelum tiga lelaki masuk campur, termasuk memukul.

“Apabila dia datang semalam (Ahad), saya memerhatikan dia makan dan selepas itu membungkus dua nasi serta air sebelum menghala keluar tanpa membayar.

“Saya pergi kepada lelaki itu dan bertanya dengan cara baik, namun dia marah dan bertanyakan siapa saya serta berkata, ‘kau nak buat apa kalau aku tak nak bayar’ sebelum bertindak kasar dengan menolak saya.

“Dia cuba melarikan diri, namun adik lelaki saya lihat kejadian itu memegang lelaki terbabit sebelum dia melawan dan menolak adik saya sehingga berlaku pergaduhan mulut,” kata Sharmimie, adik kepada pemilik kedai makanan seperti yang dipetik Harian Metro.

Menurutnya, dua pekerja turut membantu adiknya dan membawa lelaki berkenaan ke tepi kedai dan mennanyakan alasan lelaki itu tidak mahu membayar makanan.

“Lelaki itu mengaku sudah lebih dua bulan tidak membayar makanan dimakan dan tidak melakukan perbuatan itu di kedai kami sahaja, malah merayu tidak dibawa ke balai polis.

“Kami tidak kejam hanya kerana tidak bayar makanan, lelaki itu dipukul kerana perkara ini boleh dibawa berbincang tetapi biarpun ditanya dengan baik, lelaki itu bertindak kasar sehingga menolak saya.

“Saya minta maaf dan mengakui kesilapan pekerja menggunakan kayu ketika itu dan saya lihat lelaki terbabit tidak luka serta masih boleh berjalan dengan baik, malah ketika di tepi kedai mereka tidak memukul lelaki itu,” katanya yang mengakui menghalalkan makanan dimakan lelaki itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah telah mengesahkan laporan dan siasatan lanjut kini dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. - MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments