Friday, 17 March 2017

Samseng kaki ugut, digeruni di Kuching, Sibu dan Miri dilanjut reman


KUCHING: Polis Sarawak hari ini berjaya mendapatkan perintah sambung reman sehingga 38 hari terhadap sekumpulan samseng untuk membolehkan siasatan lanjut terhadap aktiviti mereka dijalankan.

Majistret Zulhairil Sulaiman membenarkan permohonan polis memandangkan suspek-suspek ini juga memiliki lebih 10 laporan kes, kebanyakannya berunsurkan jenayah ugut dan kekerasan.

Mereka ditahan sehingga 23 April depan, dan disiasat di bawah Seksyen 4(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

Suspek seramai empat orang berketurunan Cina dari Sibu serta Kuching lingkungan umur 24-36 tahun dikatakan melakukan pelbagai jenayah kekerasan dan peras ugut, namun gagal dibawa ke muka pengadilan atas pelbagai alasan.

Ini termasuk mangsa takut membuat laporan polis, malah ada saksi yang menarik diri, berkemungkinan besar diugut.

Namun hanya tiga daripada mereka yang dibawa ke mahkamah semalam untuk disambung reman memandangkan seorang lagi rakan mereka masih sah tempoh tahanan.

Polis percaya, dengan tindakan POCA yang dikenakan terhadap kumpulan ini, jenayah di empat buah daerah iaitu Kuching, Padawan, Miri dan Sibu dapat dikurangkan. – Sarawakvoice

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments