Friday, 17 March 2017

Amah terlepas hukuman mati selepas dimaafkan bapa mangsa


Jakarta: Seorang amah warga Indonesia yang dituduh membunuh anak majikannya di Arab Saudi terlepas hukuman mati selepas bapa mangsa membuat kejutan dengan memaafkan wanita itu.

Masamah Raswa Sanusi berdepan hukuman pancung selepas didakwa membunuh anak majikannya yang berusia 11 bulan di Tabuk pada 2009. 

Wanita yang berasal dari Cirebon ini mengaku tidak bersalah membunuh bayi berkenaan ketika dibicarakan di sebuah mahkamah di Tabuk. 

Sepanjang perbicaraan berlangsung keluarga bayi itu tetap menuntut Masamah dihukum mati walaupun pihak kedutaan Indonesia merayu mereka memaafkannya.

Pegawai di Pejabat Konsular Indonesia di Jeddah, Rahmat Aming memberitahu, dalam pembicaraan pada Isnin lalu, hakim sepatutnya membacakan hukuman terhadap Masamah tetapi ditangguhkan apabila bapa mangsa tiba-tiba bangun. 

Tanpa diduga lelaki itu yang dikenali sebagai Ghalib mengangkat tangan dan terus menangis teresak-esak. 

“Saya dengan ini memaafkan Masamah kerana mengharapkan pahala daripada Allah,” katanya dengan suara tersekat-sekat. 

Hakim yang terkejut sekali lagi meminta kepastian daripada Ghalib. 

Ghalib sekali lagi memberitahu dia sedar dan penuh ikhlas memaafkan Masamah tanpa sebarang syarat. 

“Saya hanya mengharapkan kebaikan untuk keluarga saya dan Masamah,” katanya. Mahkamah kemudian menerima pengampunan daripada Ghalib. 

Masamah dijangka dibebaskan tidak lama lagi. – Agensi/HMetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments